Followers

Monday, January 26, 2015

Putrajaya timbang ciri-ciri ISA dalam akta baru tangani keganasan, kata Wan Junaidi

 

Selepas empat tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, Putrajaya kini menimbang membawa semula ciri-ciri undang drakonian tersebut dalam akta baru yang bakal dibentang Mac ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu The Malaysian Insider, langkah tersebut diperlukan bagi menangani aktiviti keganasan.

"Kerajaan sudah berjanji ISA tidak akan dikembalikan, tapi mungkin selepas tapisan nanti, ada ciri-ciri (peruntukan undang-undang) yang hampir sama dengan ISA," katanya. Wan Junaidi berkata, rang undang-undang baru tersebut akan memiliki bahagian tertentu daripada bentuk hukuman yang akan dikenakan sehingga ke langkah pencegahan.

"Kami mahu undang-undang baru, akta baru, kerana kalau kita mempunyai akta baru ini kita akan dapat pisahkannya mengikut bahagian masing-masing, ada bahagian hukuman, ada bahagian untuk pencegahan, ada bahagian untuk pemulihan dan pelbagai lagi," katanya.

Insiden serangan ke atas pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris baru-baru ini perlu dijadikan satu iktibar, kata Wan Junaidi sambil menegaskan betapa pentingnya langkah berhati-hati yang perlu diambil kerajaan. "Kita tidak tunggu orang bom bangunan besar kita, baru kita nak tangkap dia. "Mana satu rakyat Malaysia mahu?

Kamu nak berlaku kejadian di Paris dahulu atau bagaimana? "Kadang-kadang kita bercakap tentang demokrasi, tapi kita tidak pernah tanya sendiri sejauh mana demokrasi yang kita mahukan," kata beliau.

Wan Junaidi bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai ciri-ciri undang-undang ISA yang akan dimasukkan dalam akta baru, sebaliknya berkata perlu tunggu sehingga Mac nanti apabila ia dibentangkan di Parlimen.


"Kalau awak tanya saya selepas Mac mungkin saya boleh jawab, tapi setakat peringkat ini saya belum boleh menjawab kerana ia masih satu spekulasi, walaupun kami di kementerian mengetahui sejauh mana yang kita mahu dan corak yang kita mahu," katanya.


November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat semasa membentangkan kertas putih mengenai militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) mencadangkan satu undang-undang baharu yang bersesuaian digubal bagi membanteras keterlibatan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan dan pengganas.

Beliau turut mencadangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dan Kanun Keseksaan diperkasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab hal-ehwal undang-undang, Nancy Shukri, baru-baru ini juga mengesahkan undang-undang baru tersebut bakal dibentang pada Mac dan memberi jaminan hak kebebasan bersuara akan tetap dipelihara.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai proses sebelum ia dibentang ke Parlimen, Wan Junaidi berkata, kementerian masih belum menghantar sebarang cadangan kepada Peguam Negara mengenai undang-undang baru tersebut.

"Ia belum sampai ke peringkat AG (Peguam Negara) dan jawatankuasa dalam Pejabat AG. Malah, ia belum sampai kepada pihak kerajaan untuk terima, iaitu Kabinet," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi juga berkata sebarang cadangan atau kandungan dalam akta tersebut akan datang daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kita (KDN) sebagai penaja kertas putih itu, tapi ia datang daripada JPM.

"Tapi akhirnya kita yang menjadi pemikir untuk buat struktur undang-undang itu sendiri. Kita dipertanggungjawabkan untuk jaga negara ini," jelasnya.

Akta zaman penjajah ISA dimansuhkan Najib pada 2011 sebagai salah satu daripada janji pembaharuannya selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2009.

Berdasarkan akta tersebut, sesiapa sahaja boleh ditahan polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan kerana melakukan perbuatan yang dijangka mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh menteri dalam negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Bagaimanapun, kebelakangan ini terdapat suara-suara daripada kumpulan pendesak Melayu yang mahukan akta tersebut dikembalikan bagi menangani isu melibatkan kaum dan agama dalam Malaysia.


Posted & copy by RAKYAT MARHAEN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.