Followers

Saturday, January 24, 2015

Program penempatan pembantu guru diperluas ke Sabah tahun ini

Program penempatan pembantu guru bagi menangani masalah beban tugas guru akan diperluaskan ke Sabah mulai tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Buat permulaan, katanya, penempatan pembantu guru mengikut enrolmen murid akan dilaksanakan di Kudat, Keningau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata seorang pembantu guru akan ditempatkan di sekolah yang mempunyai enrolmen 500 murid, dua bagi sekolah antara 551 hingga 1,350 murid dan tiga pembantu guru bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,350 murid.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri bersama-sama warga institusi pendidikan di negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah, di Kota Kinabalu, malam ini.

Muhyiddin, yang juga menteri pendidikan, berkata program tersebut dirintis di Melaka dan Kedah masing-masing pada 2013 dan tahun lepas.

Beliau turut mengumumkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di Sabah akan menerima Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) sebanyak RM72.9 juta tahun ini.

Katanya, jumlah asal elaun tersebut kepada Sabah adalah RM63.3 juta, tetapi ditambah sebanyak RM9.6 juta susulan pertambahan daripada RM166 juta kepada RM186 juta yang diperuntukkan kepada PPP dan AKP di seluruh negara.

"Kementerian juga amat mengambil berat kebajikan semua PPP dan AKP terutamanya yang berkhidmat di sekolah pedalaman.

"Sejak 2007, PPP dan AKP di 872 sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima EKMLTK dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 374 sekolah atau 42%s daripada jumlah tersebut merupakan sekolah di Sabah," katanya.

Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta diluluskan bagi pelaksanaan fasa kedua projek menaik taraf Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di sini menerusi Pelan Pusingan Keempat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) tahun ini.

Menurutnya, kos keseluruhan projek tersebut adalah sebanyak RM83 juta.

Pada majlis itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip menyampaikan replika cek berjumlah RM106,800 sumbangan Jabatan Pendidikan Sabah kepada Tabung Bencana Alam, Kementerian Pendidikan yang diterima oleh Ketua Setiausaha Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Majlis, yang dihadiri kira-kira 2,000 warga pendidik, turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. – Bernama, 23 Januari, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.