Followers

Sunday, January 25, 2015

Pilihan raya PBT cetus 13 Mei pandangan peribadi Hadi, kata Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat akan meneliti mewujudkan semula pilihan raya tempatan dengan mengambil kira pandangan semua kaum. –

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat akan meneliti mewujudkan semula pilihan raya tempatan dengan mengambil kira pandangan semua kaum. –

Pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mencetuskan tragedi berdarah seperti 13 Mei hanyalah pendapat peribadi presiden PAS itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata, beliau akan menghubungi Hadi dan pemimpin DAP Lim Kit Siang esok untuk membincangkan perkara tersebut dan akan mengambil kira pandangan semua kaum.

“Kenyataan yang dikeluarkan beliau (Hadi) adalah pendapat peribadinya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, PR adalah gabungan parti yang mendukung proses demokrasi dan perkara itu perlu dibincang dalam mesyuarat sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami akan mengenal pasti segala isu dan pendapat semua penduduk dalam sesebuah bandar sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut,” katanya.

Jumaat lalu, Hadi yang juga merupakan ahli Parlimen Marang memberi amaran pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP boleh melebarkan jurang antara kaum dan mendorong kepada insiden seperti 13 Mei.

Presiden PAS itu berkata, desakan DAP untuk pilihan raya PBT akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan kaum Cina sahaja.

"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi ‘api dalam sekam’ untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara," kata Hadi (gambar, kiri) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Apatah lagi apabila kita melihatnya daripada aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar majoriti kaum Cina yang sangat besar.

"Lihat sajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di Majlis Daerah di kawasan desa di Selangor yang pula majoriti satu kaum yang lain."

Kenyataan Hadi itu menimbulkan ketegangan di antara parti PR apabila Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata partinya terkejut dengan kenyataan presiden PAS itu.

"Kami amat terperanjat dengan kenyataan Hadi kerana mengaitkan pilihan raya PBT akan membawa peristiwa 13 Mei 1969, bagi saya itu tidak masuk akal," katanya merujuk kepada insiden rusuhan kaum di Malaysia satu ketika dahulu.

"Kita tidak patut guna isu perkauman dalam pilihan raya PBT kerana pilihan raya ini adalah untuk mengembalikan hak demokrasi kepada akar umbi dan memberikan peluang kawasan kawasan mereka, bukan di bandar sahaja tapi majlis daerah dan majlis perbandaran," kata Loke yang juga ahli Parlimen Seremban, ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Hadi, bagaimanapun, disokong akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang mengatakan jika DAP mengadakan pilihan raya PBT di Pulau Pinang, hanya kaum Cina yang akan mendapat keuntungan.

Menteri Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan juga bersetuju dengan Hadi yang pilihan raya PBT mungkin menyebabkan jurang lebih besar antara kaum, selain menelan lebih banyak wang pembayar cukai.

Walaupun tidak menyebut insiden rusuhan kaum 13 Mei, 1969, menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, pilihan raya itu akan membawa kepada ketegangan dan ketidakpercayaan antara kaum.

"Saya percaya terdapat risiko lebih besar jurang antara kaum sekiranya pilihan raya PBT dimandatkan," kata Rahman. – 25 Januari, 2015.


The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.