Followers

Wednesday, January 28, 2015

Perkara yang anda perlu tahu sebelum berani menginap di Tune Hotel

  Berapa ramai daripada kalangan anda yang dah pernah tinggal di Tune Hotel? jika dah pernah tinggal di hotel tersebut, tentu anda sedar bahawa ada perkara yang anda perlu tahu sebelum berani tinggal di Tune Hotel. 
 

Jika anda tak tahu atau tak mendapat maklumat perkara sebenar berkenaan konsep Tune Hotel, anda akan jadi marah dan kesal tinggal di hotel tersebut. Anda tentu akan dapat satu rumusan jelas siapa yang sepatutnya tinggal di Tune Hotel dan siapa pula yang tak sepatutnya ambil bilik di situ.

Bukan perkara yang negatif, dan bukan pula perkara yang menakutkan. Tapi rasanya semua orang yang belum terkena perlu tahu duduk perkara sebenar sebelum menginap di Tune Hotel. Ah! panjang pula dok kasi suspen berkenaan Tune Hotel ini. Baik kita terus cerita pengalaman saya tinggal di Tune Hotel.

Pengalaman tinggal di Tune Hotel Johor

Baru-baru ini saya ada pergi ke Johor Bahru dan mengambil Tune Hotel yang terletak di Danga Bay sebagai tempat menginap. Mungkin atas dasar nak bajet jimatkan kos, maka Tune Hotel jadi pilihan sebagai tempat menginap. Saya tinggal di hotel tersebut selama dua malam.

Anda pun tahu ia merupakan hotel bajet. Bila dah tahu begitu, anda tentu ingat segalanya murah berbanding hotel lain yang tak jadikan bajet sebagai pilihan tema penginapan mereka. Tapi salah jika anda beranggapan begitu.

Sebelum pergi ambil bilik di situ, pastikan anda faham makna bajet. Yang paling penting jangan harap Tune Hotel pula untuk laksanakan usaha nak jimat harga sewaan untuk anda. Kita sendirilah yang perlu usahakan langkah-langkah nak jimatkan kos penginapan di hotel tersebut.

Dalam bilik Tune Hotel segalanya asas

Secara ringkasnya, saya boleh katakan hotel itu biliknya amat basic sekali. Bilik tak luas. Ruangnya pula ala kadar dan boleh dikatakan agak sempit dengan dua katil single sebelah menyebelah. Cuma lebih luas sedikit sahaja daripada hotel Cititel Kota Kinabalu yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

Tak ada almari, tak ada telefon dalam bilik, tak ada bantal lebih satu, tak ada bantal peluk, tak ada meja menulis, tak ada seterika, tak ada berbagai macam lagi kemudahan sebagaimana hotel biasa yang pernah anda tinggal yang harganya dalam lingkungan RM150 ke RM200 di mana-mana tempat di Malaysia. Segalanya basic, keperluan asas saja yang disediakan di dalam hotel tersebut. Yalah! namapun hotel bajet.

Cara bajet di Tune Hotel

Memandangkan semuanya hanya keperluan asas saja yang pihak hotel sediakan, maka andalah yang perlu sediakan keperluan lain jika mahu selesa. Tapi jangan terkejut kalau saya katakan bahawa anda perlu sediakan perkara asas mandi macam kain tuala.

Ya! tolong bawa kain tuala sendiri kalau anda nak tinggal di Tune Hotel. Jika tidak, anda terpaksa keluarkan kos tambahan untuk membayar harga kain tuala yang dipinjam daripada pihak hotel!. Anda juga perlu bawa sendiri segala berus gigi, ubat gigi, dan lain-lain kelengkapan, jangan harap hotel nak sediakan.

Tinggal di Tune Hotel, anda mesti bersedia untuk tidur dalam bilik hotel tanpa ada pendingin hawa. Pakai sahaja kipas angin, sebab ianya disediakan sekali dalam pakej. Kalau anda mengada-ngada nak pakai pendingin hawa, sekali lagi kena keluarkan kos tambahan untuk dihidupkan pendingn hawa yang ada dalam bilik itu.

Dan paling akhir, jangan gatal nak nonton TV dalam Tune Hotel. Sebabnya adalah anda sekali lagi perlu keluarkan duit tambahan untuk diberikan remote control bagi membuka TV dan menontonya. Pastikan smartphone yang anda ada boleh ganti ketagihan anda menonton cerita TV atau seumpamanya. Kalau tak ada sila bawa buku atau majalah untuk hilangkan rasa bosan.

Dan akhir sekali, janganlah harap anda nak dapat voucher sarapan keesokkan harinya, semua itu tak disediakan di Tune Hotel. Bawa bekal sendiri atau pergilah turun awal-awal ke mana-mana restoran berhampiran untuk isi perut untuk sarapan pagi anda.

Jangan Pilih Tune Hotel kalau tak mau bajet

Ha! itulah perkara yang anda perlu tahu sebelum berani menginap di Tune Hotel. Memang mereka mengajar anda bersedia secukupnya untuk jimatkan wang dalam poket kita. Kalau tidak anda akan terpaksa keluarkan duit jauh lebih tinggi daripada Hotel yang tak bajet yang menyediakan kemudahan jauh lebih lengkap daripada Tune Hotel.

Seandainya anda tak ada niat nak bajet, mahukan segala kemudahan selesa seperti hotel kebiasaan lain, jangan sesekali berani nak tinggal di Tune Hotel. Pilihlah hotel normal lain yang mengenakan bayaran sebanyak RM180 ke RM200, anda kan dapati ianya jauh lebih menjimatkan daripada Tune Hotel dengan tambahan caj-caj lain yang anda minta.

Jika anda ada pengalaman lain yang lebih memberikan keinsafan ketika tinggal di Tune Hotel, sila berikan komen di ruang komen di bawah. Sharing is caring, apa salahnya kita memberikan tip-tip berguna agar perancangan akan datang tidak meleset dari sangkaan. Terima kasih atas sumbangan komen anda.



Pendapatanda.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.