Followers

Sunday, January 18, 2015

Peperangan media di antara puak Mahathir/Daim dgn Najib itu, peperangan terhadap diri sendiri

 
Tidak ada siapa yang tidak bergaduh sekarang ini. Pergaduhan berlaku di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. DAP membangkang pengenalan hukum hudud di Kelantan kerana tidak pernah dipersetujui dalam manifesto bersama pakatan pembangkang itu. 
 
Sekarang DAP pula mahu mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan yang tidak pernah dibawa berbincang dalam Pakatan dan PAS tidak bersetuju tindakan DAP itu. Sekarang PAS menuduh DAP 'cakap tidak serupa bikin'.

Kini Pakatan pembangkang seolah-olah sudah tidak wujud lagi pada hakikatnya dan masing-masing membuat kerja masing-masing dengan hala tujuan masing-masing. 
 
Dalam pihak kerajaan pula berlaku pergaduhan besar dalam MIC dan berlaku pergeseran di antara parti-parti dalam BN itu. UMNO tidak lagi sekuat dahulu yang mampu menguasai hala tuju BN itu.

UMNO kini bergaduh sesama sendiri. Puak bekas Perdana Menteri bergaduh dengan puak Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak. 
 
Setelah menerima kritikan yang kuat dari pihak Tun Mahathir, maka pihak Najib pula telah mendapat nasihat dari seorang yang hanya dikenali sebagai HR dalam usaha memberikan tentangan terhadap kritikan pihak Dr Mahathir. 
 
Seorang yang bernama HR sebagai mana yang disebut oleh A Kadir Jasin dikatakan begitu berpengaruh dan segala arahannya terhadap media-media massa perdana untuk mengkritik Dr Mahathir, Daim Zainduddin dan Kadir Jasin sendiri.

Sekarang di antara pemimpin dan mereka yang rapat dengan kuasa dalam UMNO dan BN itu sedang bergaduh sesama sendiri dan masing-masing mengeluarkan kelemahan pihak yang berlawanan itu. Pertembungan di antara puak Dr Mahathir/Daim dan Najib dikatakan oleh setengah pihak sebagai ‘bontot kuali mengatakan bontot belanga hitam’. 
 
Masing-masing mendiami rumah kaca dan elok jika masing-masing tidak melontar batu ke rumah kaca lawan.

Semuanya sudah terburai dan ingatlah, perlakuan buruk kita tidak akan dapat dipengapkan selama-lamanya. Tiba masanya ia akan terbongkar dan akan diketahui umum juga. 
 
Yang paling mengelirukan kita, kedua-dua belah pihak bercakap tentang kesejahteraan rakyat dan menentang semua bentuk kezaliman dalam kerajaan dan negara.

Sekarang kedua-dua belah pihak sedang bergaduh dikhalayak ramai seperti 'janda tua bergaduh sambil menyinsing kain dikhalayak ramai dikampung-kampung dahulu'. 
 
Masing-masing membontotkan pihak lawannya sebagai tanda benci dan dendam masing-masing terhadap pihak lawan. Sekarang ini kita mulai nampak apa yang ada disebalik kain mereka.

Kita lihat seterusnya apa yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak ini dalam sehari dua ini. Kedua-dua belah pihak semakin hari semakin terbawa-bawa dengan amarah masing-masing dan mereka ini jugalah yang mengaku diri mereka sebagai pejuang kepada rakyat dan negara sedangkan sebenarnya mereka sedang mempertahankan 'lopak dan laba' masing-masing itu.

Saya mengambil ini sebagai isu hari ini kerana saya sudah lama menulis tentangnya. Selalu saya perkatakan akhirnya masing-masing tidak akan mampu bertahan dengan ego masing-masing kerana masing-masing mempunyai saham dalam menjadikan negara kita dalam keadaan sekarang ini.

Jika ada walaupun sebelah pihak sahaja yang benar-benar jujur terhadap rakyat yang dipimpin mereka tidak akan berlaku bergaduh sambil ‘menyinsing kain’ seperti sekarang ini. 
 
Tentulah pihak yang benar tidak akan memberikan respon yang sama seperti pihak yang lagi satu. Pendeknya apa yang dikatakan oleh puak Kadir Jasin terhadap Najib itu semuanya benar, dan apa yang diperkatakan oleh Najib terhadap pihak Dr Mahathir, terutamanya Daim itu semuanya benar.
 
 

Dalam pergaduhan ini Najib nampaknya kesaorangan kerana tidak ada seorang Menteri pun yang tampil secara terangan mempertahankan Najib, kerana mereka tahu jika Najib berundur akhirnya mereka secara ‘collective’ mesti berundur sedangkan banyak laba yang akan hilang jika Najib berundur. Mereka bukan mahu berkorban untuk rakyat walaupun itulah yang mereka laungkan dalam politik ini.

Tidak ada juga pihak yang mengiyakan apa yang di sebut oleh Dr Mahathir terhadap Najib kerana rakyat yang berfikir akan mengakui, ‘there must be a cause for a cause’. Kalau tidak kerana berlindung dibawah kuasa Mahathir dahulu masakan Najib akan wujud dan timbul sebagai pemimpin besar negara? 
 
Kalau tidak ada lonjakan oleh Mahathir masakan Pak Lah dan Najib muncul di pesada kepimpinan negara dan melakukan kerja yang sangat tidak selari dengan kehendak Dr Mahathir sendiri?

Inilah padah yang di perolehi oleh Dr Mahathir kerana terlalu kuat memelihara orang yang lemah untuk menggantikan beliau. 
 
Sekarang oleh kerana Najib dan Pak Lah dahulu lemah maka mereka ini tidak mampu untuk menunjukan kepimpinan mereka untuk mempertahankan atau untuk menutupi tindakan dan salah laku Dr Mahathir sendiri.

Dulu Dr Mahathir tidak percaya kepada orang yang bernas dan cerdas untuk berada bersamanya dalam kepimpinan negara. Bagi beliau memilih orang yang cerdik dan bernas untuk mengiringi beliau itu merupakan satu tindakan 'membela harimau' pada Dr Mahathir. 
 
Mahathir memilih untuk bersama dengan pengampu dan pendokong membuta tuli mereka dan Mahathir sendiri tidak sedar apa kah ‘consequence’ nya membela dan mewariskan kepimpinan kepada pengampu dan yang pandai menggeli pundi-pundinya sahaja.

Sekarang kita semua sudah mempelajari satu pelajaran yang sangat berguna kepada mereka yang mampu belajar dari kesalahan orang lain. 
 
Kita sekarang sudah belajar dengan jelas yang jika kita melonjakkan dan menaikan mereka yang lemah, kelemahan mereka itu tidak akan membantu untuk kita semasa kita bersara. 
 
Pemimpin yang lemah selalunya akan terbekal secara ‘natural’ dalam diri mereka dengan tiga racun berbisa yang akan membinasakan mereka sendiri, iaitu ‘greed, anger and foolishness’.

Bagi seseorang yang mempunyai tiga unsur ini di dalam diri mereka tidak akan terjumpa waktunya mereka akan mengambil tindakan yang betul terutamanya terhadap kepentingan rakyat dan negara. Unsur-unsur inilah yang menonjol sejak kepimpinan Dr Mahathir.

Oleh kerana wujudnya tiga unsur beracun itulah yang menyebabkan sejak kepimpinan Dr Mahathir Mohamed, tidak ada pemimpin yang sesuai lagi untuk negara dan ini dibuktikan oleh ‘frustrations’ Dr Mahathir terhadap mereka yang beliau lonjakan dari Musa Hitam kepada Najib yang memimpin pada hari ini. 
 
Bukannya kita yang menuduh Dr Mahathir dalam isu ini, sebaliknya Dr Mahathir sendiri yang menyerang semua mereka yang beliau sayangi yang beliau guna untuk beliau jadikan ‘pelapik’ beliau seperti yang saya selalu sebutkan selama ini.

Seperkara yang kita mesti akui jika kita ada sedikit ‘spiritual value’ dalam diri pemimpin kita, kehidupan mereka terutamanya semasa alam persaraannya akan aman dan tenteram. 
 
Tetapi oleh kerana kita terlalu kosong dalam diri kita ini, maka malang datang menghimpit dan merasakan kehidupan tidak pernah merasakan kepuasan dan sentiasa berada dalam kemurungan dan sifat amarah itu tetap menguasai kehidupan kita.

Tetapi kita juga percaya, tidak akan datang kebaikan jika kita tidak lalui keperitan. Tidak akan datang yang enak jika tidak datang kepayahan terlebih dahulu. 
 
Tidak akan dapat menghargai hidup dalam kejujuran jika kita tidak melalui zaman kita hidup dengan bisikan khatir yang akan sentiasa menyesatkan kita terutamnya apabila kita sampai dan menghampiri akhir kalam.

Bak kata ulamak muktabar, jalan ke syurga itu 'berduri-duri dan beronak, jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju'. Tetapi yang pastinya di pengakhir hidup kita biarlah kita dihormati dan disayangi oleh orang setidak-tidaknya di kariah kita. 
 
Adalah amat menyedihkan kita dihimpit dengan banyak masalah dalam akhir-akhir dan sisa hidup kita, sedangkan waktu itu adalah waktu yang kita dahagakan ketenangan hidup.

Baik pihak Dr Mahathir mahu pun pihak Najib. Sesungguhnya mereka sedang berperang dengan diri mereka sendiri. Peperangan melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang tidak berkesudahan. Ia bermula sejak kita lahir sampai lah ke akhir kalam kita.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.