Followers

Saturday, January 24, 2015

Peguam: Jangan salahkan Australia


Peguam Australia, Mark Trowell berkata Malaysia tidak harus mempersalahkan kerajaan tersebut dalam mengendalikan kes Sirul Azhar Umar.

Jelas Trowell, pihak pendakwaan Malaysia sepatutnya meminta syarat ikat jamin lebih ketat seperti tidak membenarkan Sirul meninggalkan negara atau menaiki penerbangan komersial.

Beliau yang juga pemerhati politik Malaysia berkata, pihak pendakwaan sepatutnya menyedari bahawa Mahkamah Persekutuan mungkin menukar keputusan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Ia sepatutnya disedari yang Sirul mempunyai risiko untuk lari.

"Namun, tiada apa-apa dilakukan untuk menghalangnya dengan mengenakan syarat agar menyerahkan pasport antarabangsa atau larangan menghampiri kawasan pelepasan antarabangsa.

"Tentunya Australia tidak mahukan beliau dan kami mahu menghantarnya pulang.

"Namun kurang adillah untuk menyalahkan kami kerana bukan kami yang membenarkannya meninggalkan Malaysia," kata Trowell dalam kiriman emel kepada Malaysiakini.

Trowell berkata demikian sewaktu ditanya tentang langkah seterusnya dalam prosiding di Australia susulan laporan akhbar di sana yang Sirul dibebaskan dengan syarat ketat.

Peguam kanan itu bagaimanapun menafikan yang Sirul telah dibebaskan.

Jabatan Perlindungan Sempadan dan Imigresen juga mengeluarkan menafikan perkara tersebut.

Jun lalu, Timbalan Pendakwa Raya 1, Tun Abdul Majid Hamzah tidak mengenakan syarat terhadap Sirul dan Azilah sewaktu merayu kes mereka di Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah sebelum itu pada Ogos 2013 dibebaskan Mahkamah Rayuan daripada disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Menurut Trowell, Australia bertindak penuh tanggungjawab apabila segera menahan Sirul selepas notis merah Interpol dikeluarkan terhadap beliau.

Menurutnya, walaupun notis itu biasanya akan melibatkan proses ekstradisi, penahanan itu tidak bermakna Sirul akan diekstradisi secara automatik.
Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.