Followers

Monday, January 26, 2015

MB Selangor ragui status penduduk protes Datum Jelatek

MB Selangor Mohamed Azmin Ali meragui peserta protes Datum Jelatek semalam merupakan penduduk kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 26 Januari, 2015.MB Selangor Mohamed Azmin Ali meragui peserta protes Datum Jelatek semalam merupakan penduduk kawasan itu.

MB Selangor Mohamed Azmin Ali meragui peserta protes Datum Jelatek semalam merupakan penduduk kawasan itu.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini mempersoalkan sama ada peserta protes tapak projek rumah mewah Datum Jelatek semalam merupakan penduduk asal Taman Keramat.

"Mereka itu siapa? Awak pasti mereka penduduk tempatan?

"Selain Encik Salleh (Samad, Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek) siapa lagi yang hadir?" katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Semalam, kira-kira 100 penduduk berarak ke tapak projek itu sebelum bertindak agresif memecahkan tembok zink, manakala sesetengah mereka memasuki tapak projek.

Azmin yang juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu berkata, pihaknya sedia mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat walaupun projek itu berjalan sejak tiga tahun lalu.

Namun, beliau menafikan wujudnya unsur perkauman dalam projek tersebut seperti yang didakwa penduduk dan peserta demonstrasi.

"Kita membenarkan penduduk atau rakyat menghantar bantahan mereka terhadap mana-mana pembangunan dan kita akan teliti.

"PKNS akan keluarkan laporan terperinci bagi membuktikan sebaliknya. Yang penting, pembangunan itu mestilah tidak menjurus kepada perkauman," katanya.

Katanya, walaupun wujud kuota Bumiputera dalam pembangunan, ia tidak boleh dijadikan sebagai satu sentimen yang boleh menghalang pembangunan di Selangor.

Selepas ini, katanya satu perjumpaan 'town hall meeting' akan diadakan melibatkan penduduk terbabit dan agensi kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Projek Datum Jelatek sebelum ini dibantah penduduk tempatan yang mengatakan ia bertujuan menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi "Chinese District" (Daerah Cina) apabila projek kondominium itu hanya mampu dimiliki kaum Cina dan warga asing dari China.

Peserta protes semalam dilihat memakai lilitan di kepala tertulis "Anak Keramat" sebagai simbol menunjukkan mereka penduduk yang berasal dari kawasan tersebut.

Sewaktu demonstrasi, mereka menyanyikan lagu kebangsaan, lagu Barisan Kita, juga lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) yang seringkali dimainkan dalam program Biro Tata Negara, bagi menaikkan semangat.

Turut kelihatan hadir wakil Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ) dan ahli kumpulan pendesak Melayu, Perkasa Selangor.

Pengerusi BBDJ Salleh Samad berkata, perhimpunan itu bertujuan memberi kata dua kepada Azmin supaya menghentikan projek yang dikatakan akan memberi peluang kepada orang luar masuk ke kawasan yang majoritinya penduduk Melayu.

Mereka juga mendakwa pemilikan di kondominium tersebut kebanyakannya dibeli kaum bukan Melayu dan orang asing.

Pemaju projek DatumCorp, sebelum ini mengatakan projek terbabit mendapat sambutan baik dan setakat ini 1,097 pembeli Bumiputera mendaftar dan angka dicatat melebihi daripada 674 unit yang disediakan. – 26 Januari, 2015.

http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.