Followers

Sunday, January 4, 2015

Khairuddin pertimbang saman anggota Pekida atas dakwaan laporan palsu 1MDB - OLEH LOOI SUE-CHERN


Timbalan Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bercakap semasa sidang media tentang isu 1MDB di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 4 Januari, 2015.
Timbalan Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bercakap semasa sidang media tentang isu 1MDB di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.


Timbalan Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bercakap semasa sidang media tentang isu 1MDB di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sedang mempertimbangkan menyaman pihak yang menuduh beliau membuat laporan palsu terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, peguamnya Datuk Seri Rajan Navaratnam sedang meneliti laporan berita tentang kenyataan Timbalan Pengerusi Pekida Seberang Perai Selatan (SPS) Mohamad Hilme Ibrahim terhadapnya, dan akan membuat keputusan tidak lama lagi sama ada untuk menyaman Hilme.

"Mengatakan yang saya buat laporan palsu adalah kenyataan menghasut. Adakah dia lihat laporan polis yang saya buat, maklumat yang saya beri kepada polis Bukit Aman?

"Adakah dia punyai dokumen 1MDB yang boleh menentang kenyataan yang dibuat ramai pihak lain terhadap syarikat itu?

"Siapa dia untuk mempersoalkan laporan polis saya sedangkan pihak polis sendiri belum menyelesaikan siasatan mereka?" katanya di Bukit Mertajam tengah hari ini.

Khairuddin mengulas tentang laporan polis terhadapnya pada Jumaat oleh Hilme yang mendakwanya membuat laporan polis palsu. Beliau juga menuduh Khairuddin merosakkan imej 1MDB, bahagian Umno Batu Kawan serta Umno Pulau Pinang.

Sebelum laporan terhadap Khairuddin difailkan, sekumpulan 80 orang daripada pelbagai organisasi bukan kerajaan Melayu Pulau Pinang mengadakan demonstrasi aman di luar ibu pejabat polis Seberang Prai Tengah.

"Hilme juga mendakwa yang saya berjumpa dengan Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya tidak bercakap pun dengan beliau selama dua tahun.

"Saya cabar Hilme buktikan yang saya ada berjumpa dengan Aziz baru-baru ini," katanya dan menambah yang awal hari ini beliau ada membuat laporan polis terhadap Hilme atas kesalahan fitnah.

Khairuddin juga mendakwa Hilme tidak berlaku adil dan mempersoalkan kaitan beliau dengan 1MDB dan Umno kerana beliau tidak menuduh parti itu atau mana-mana pemimpinnya sebagai terlibat dengan syarikat itu dalam laporan polisnya, difailkan pada 12 Disember di balai polis Dang Wangi  di Kuala Lumpur.

Khairuddin berkata beliau hanya meminta polis menyiasat ketelusan pengurusan syarikat tersebut.

"Hilme merupakan Ketua Pemuda Umno Batu Kawan. Beliau baru-baru ini diberi surat tunjuk sebab tentang mengapa beliau gagal hadir mesyuarat empat kali berturut-turut. Tarikh akhir baginya untuk menjelaskan diri sudahpun lepas, namun belum ada jawapan darinya.

"Ini menunjukkan betapa tidak bertanggungjawab dan tiada rasa hormat kepada parti olehnya. Orang seperti itu tidak layak bercakap dengan saya tentang kepimpinan," katanya dan menambah yang orang seperti Hilme yang tidak baik bagi imej Umno.

Khairuddin menjadi tidak popular di kawasan asalnya selepas membuat laporan polis terhadap syarikat berhutang 1MDB itu – dana negara kedua Malaysia selepas Khazanah Nasional Bhd, yang merupakan ilham Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau dituduh disokong Dr Mahathir yang juga merupakan pengkritik keras Najib dan 1MDB, yang mendapat perhatian hangat selepas beberapa pemimpin pembangkang juga menimbulkan hutang besar dana tersebut, serta perjanjian hartanah yang meragukan dan kerahsiaan transaksinya. – 4 Januari, 2015.


themalaysianinsider.com/bahasa/article/khairuddin. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.