Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan tampil untuk memberi maklumat tambahan
berhubung aduannya mengenai perjalanan firma 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull
berkata ia bagi membolehkan pasukannya menilai asas dakwaan tersebut.
"Maklumat yang diberikan ini merupakan perkara yang sama dikemukakan oleh Khairuddin kepada polis sebelum ini.
"SPRM
akan memanggil Datuk Khairuddin untuk mendapatkan maklumat tambahan
daripada beliau sebelum membuat keputusan sama ada terdapat asas untuk
menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
"SPRM memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam
isu ini selaras dengan Akta SPRM 2009," kata Mohd Shukri dalam
kenyataannya.
Naib ketua Umno Batu Kawan itu dalam laporannya kepada polis sebelum ini
menggesa agar operasi 1MDB disiasat dan turut membuat laporan yang sama
di pejabat SPRM di Putrajaya semalam.
Sementara itu, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua menggesa Ketua Pegawai
Eksekutif 1MDB yang baru, Arul Kanda Kandasamy agar menjelaskan kepada
orang ramai berkenaan isu-isu yang melingkari 1MDB.
Beliau membuat gesaan itu selepas menolak jemputan Arul Kanda untuk
berdialog tentang tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Pua terhadap operasi
1MDB.
"Saya bersedia untuk berdialog dengan 1MDB atau Arul. Namun, ia lebih
penting jika beliau turut memaklumkan dan melibatkan ramai," kata Pua
kepada Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.