Saya terpanggil untuk menjawab tulisan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed
Ali Alhabshee yang mempertahankan tindakan isteri Perdana Menteri,
Rosmah Mansor yang memeluk jaguh badminton negara, Lee Chong Wei dengan
menyifatkan pelukan itu sebagai suatu penghargaan seorang ibu kepada
anaknya yang berjaya meraih kemenangan dalam sukan.
Dalam tulisan di blognya, Syed Ali secara khusus menyelar dan menyebut
nama saya dengan menyifatkan tindakan Rosmah memeluk Lee Chong Wei tidak
sama dengan perbuatan tiga gadis yang bercium dengan artis K-Pop Korea
Selatan.
Katanya lagi, "bagi saya tidak salah bagi isteri Perdana Menteri yang
menganggap dirinya ibu memeluk Lee Chong Wei kerana mengiktiraf dan amat
menghargai kejayaan yang dicapai oleh pemain badminton yang berjaya
mengharumkan nama negara."
Jika diamati tulisan saya semalam, bukan saja perbuatan berpeluk yang
dilakukan Rosmah saja yang saya pertikaikan, bahkan juga bercium dengan
artis. Dalam gambar yang saya sertakan pula, ia jelas Rosmah sedang
bergesel pipi dengan artis Bollywood, Arjun Rampal.
Apabila Syed Ali mengatakan tidak salah perbuatan Rosmah itu, saya harap
ianya tidak bemaksud beliau ingin menukar hukum bersentuhan antara
lelaki dan wanita muhrim daripada haram kepada tidak haram.
Diharapkan juga Syed Ali tidak bermaksudkan bahawa oleh kerana Rosmah
adalah isteri Perdana Menteri, maka beliau mempunyai keistimewaan
tertentu dari segi hukum dan dibenarkan berpeluk dengan sesiapa saja.
Selain itu, kenapa hanya Rosmah berpeluk dengan Chong Wei saja
diumpamakan pelukan ibu dengan anak, kenapa dengan Arjun Rampal juga
tidak dikatakan geselan pipi antara ibu dengan anak? Begitu juga dengan
Shahrukh Khan yang gambarnya turut tersebar di media sebelum ini?
Ternampak seolah-olah Syed Ali mempunyai agenda tertentu dalam membela
isteri Perdana Menteri dan cuba menyembunyikan perbuatan salah Rosmah
yang lain.
Sebagai seorang yang lebih dewasa dan berketurunan Nabi pula, Syed Ali
juga seharusnya lebih arif hukum halal haram bersentuhan antara lelaki
dengan wanita yang bukan muhrim dan tidak menjadikannya "tidak mengapa"
semata-mata kerana ia dilakukan oleh isteri Perdana Menteri.
Bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim tetap
haram, lebih-lebih lagi ketika dipeluk oleh Rosmah itu Chong Wei
bukannya kanak-kanak lagi, tetapi sudah menjangkau usia 30an, suatu
tahap usia yang seharusnya sudah akil baligh dan boleh membenihkan
zuriat.
Tidak timbul tindakan Rosmah itu umpama ibu dengan anak kerana ianya
bukan dilakukan terhadap Chong Wei saja tetapi juga kepada Arjun Rampal
dan Shahrukh Khan sama.
Tetapi bila berhadapan dengan ahli sukan wanita atau artis wanita, tidak
pernah pula terlihat keghairahan Rosmah untuk berpeluk dan bergesel
pipi dengan mereka?
Dalam masa yang sama, menepis tindakan membesar-besarkan perbuatan
Rosmah bergesel pipi dengan artis Hollywood sebagai tidak
bertanggungjawab dan menghina institusi Perdana Menteri, sekali lagi
menunjukkan Syed Ali tersasar dan seolah-olah sedang meraba-raba hujah
pembelaannnya.
Persoalannya, siapakah yang menghina institusi Perdana Menteri, adakah
ianya mereka yang mengajak Rosmah menjauhi perbuatan yang ditegah agama
atau mereka yang menggalak dan menyokong perbuatan salah Rosmah secara
membuta tuli?
Kalau mengikut logik Syed Ali yang mengatakan tidak salah Rosmah memeluk
Chong Wei atau dalam ertikata sebenar mendakap muka ahli sukan itu ke
dadanya, atas alasan ia umpama pelukan ibu dengan anak, apakah
dibolehkan juga Najib memeluk bintang-bintang sukan wanita yang mencapai
kejayaan gemilang seperti Nicol David misalnya?
Bukankah gadis-gadis remaja itu umpama anak juga kepada Perdana Menteri?
Bagi saya, tulisan Syed Ali hanya semata-mata untuk mempertahan dan
membela Rosmah tanpa melihat keseluruhan fakta yang saya tulis. Selain
berkaitan dengan perlakuan Rosmah, saya juga turut menyentuh perbuatan
maksiat lain yang lebih terbuka seperti perlakuan artis di televisyen,
maksiat di pusat-pusat hiburan dan sebagainya.
Apa yang saya bangkitkan ialah sikap Jawi atau Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan yang seolah-olah hanya melihat perkara remeh tetapi
mengabaikan maksiat lain yang lebih besar dan terbuka.
Ketegasan saya adalah jelas, jika ingin mengambil tindakan terhadap
remaja yang berpeluk dengan artis K-Pop itu, ambillah juga tindakan
terhadap semua maksiat lain, termasuk Rosmah yang turut melakukan
perkara sama, malah buktinya bertebaran di sana sini.
Dalam hal ini, siapa pun akan melihat Jawi sebagai tidak tegas dan
berpilih-pilih dalam tindakannya. Saya bukannya membela dan
mempertahankan perbuatan gadis-gadis remaja itu, tetapi lagak Jawi
dengan ungkapan mahu mengeluarkan waran tangkap menunjukkan ianya
berlebih-lebihan dan hanya inginkan publisiti murahan saja.
Jika betul Jawi benar-benar berani, tidak pilih bulu dan "sudah bersunat", ambillah tindakan secara sama rata? (SH 15/01/2015)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.