Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat cuma uzur biasa selepas kesihatannya menurun sedikit selepas banjir besar melanda Kelantan baru-baru ini.
Menurutnya anaknya Nik Abduh, ayahandanya itu tidak turut serta bersolat di masjid seperti kebiasaannya kerana keletihan.
“(Beliau) di rumah dengan aktiviti biasa, berjalan, membaca dan rehat.
"Cuma selepas banjir baru-baru ini, kesihatannya menurun sedikit.
“Apa pun baik insya-Allah,” katanya yang juga anggota parlimen Pasir Mas.
Dalam kenyataannya yang disiarkan di Facebook Nik Aziz sebentar tadi, Nik Abduh berkata ayahandanya juga memilih untuk tidak diziarahi kerana mahu berehat secukupnya.
“Mari bersama memohon doa semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat ayahanda dan seluruh umat Islam yang dalam keuzuran kesihatan mereka dan semoga kita semua beroleh hidayat dan istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan gambar Nik Aziz yang didakwa terbaring kerana uzur dan kini tersebar secara meluas di laman sosial adalah gambar lama.
Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Saya tidak pasti itu gambar bila, tapi saya tahu itu gambar lama. Dia sakit (tua) tetapi tidaklah sentiasa terbaring seperti di dalam gambar tersebut," katanya.
Beliau mengulas penyebaran gambar Nik Abdul Aziz, 83, yang dilihat sedang terbaring sambil dikelilingi dan ditemani anggota keluarga di dalam sebuah bilik.
Jelas Mohd Amar, kali terakhir beliau menemui bekas menteri besar Kelantan itu adalah sebelum berlakunya bencana banjir di Kelantan baru-baru ini dan keadaan beliau ketika itu, cuma sakit biasa.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau mengetahui tentang keadaan kesihatan Nik Aziz yang sedang uzur sejak dua minggu lepas, namun keadaannya beransur baik dan tidak seperti dipaparkan dalam gambar.
Sebelum ini, Nik Aziz dilapor berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Terdapat juga laporan dan khabar angin pada Oktober tahun lepas yang mengatakan Nik Abdul Aziz telah meninggal dunia akibat kompilasi jantung, namun ia tidak benar.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.