Followers

Saturday, January 24, 2015

Apakah Zahid menteri KDN pertama tulis surat kepada FBI‎, soal PKR


Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi perlu mengaku sama ada beliau merupakan menteri pertama menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat atau wujud satu prosedur standard (SOP) baru berkenaannya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi perlu mengaku sama ada beliau merupakan menteri pertama menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat atau wujud satu prosedur standard (SOP) baru berkenaannya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa berterus-terang dalam isu menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas dua bekas menteri terdahulu, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pernah berbuat demikian, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah komunikasi PKR itu berkata, Zahid perlu mengaku sama ada beliau merupakan menteri pertama yang berbuat sedemikian atau wujud satu prosedur standard (SOP) bagi menteri Kabinet menulis surat kepada badan atau organisasi atas nasihat individu selain Peguam Negara.

"Saya berdoa agar Zahid akan dikurniakan keberanian untuk menjawab soalan-soalan ini, dan tidak berselindung di sebalik alasan teknik dan undang-undang kuku besi seperti yang dibuat sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hamid hari ini dilaporkan berkata, dirinya tidak pernah menulis surat kepada agensi berkuasa Amerika Syarikat (AS) itu sepanjang beliau mengetuai kementerian berkenaan kira-kira setahun bermula Mac 2008.

"Biasa kami tulis surat kepada  kerajaan luar. Itu hak beliau (Zahid) sebagai menteri, tetapi masa saya, tidak ada tulis surat kepada FBI," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata, menulis surat kepada kerajaan luar adalah perkara biasa dalam urusan kerajaan, namun beliau tidak pernah menulis kepada mana-mana agensi.

"Surat kepada kerajaan asing itu perkara biasa, tetapi menulis surat kepada agensi saya tidak pernah buat, saya pembuat dasar.

"Tetapi menulis surat itu hak sebagai menteri, namun masa zaman saya dahulu mungkin tidak ada kes seperti itu dan saya tidak pernah menulis surat kepada agensi," katanya, kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Penafian sama dibuat Hishammuddin pada 20 Januari lalu, apabila mengatakan tidak pernah menghantar surat sokongan kepada FBI sepanjang memegang portfolio itu dari 2009 hingga 2013.

"Secara peribadi, saya tidak pernah menghantar sebarang surat sokongan," katanya.

Zahid sebelum ini mempertahankan kuasanya sebagai menteri berhubung isu raja judi Paul Phua Wei Seng, atas alasan menteri sebelumnya juga pernah mengeluarkan surat penjelasan seumpama itu.

"Menteri sebelum saya juga keluarkan surat penjelasan. Berdasarkan kuasa kepada menteri itulah saya menandatangani surat itu.

"Menteri dalam negeri sebelum saya juga mengeluarkan surat yang sama," katanya. – 23 Januari, 2015.


http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.