Pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata hari ini PAS tidak harus berada dalam sindrom penafian kerana enggan mengakui peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat.
Pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata hari ini PAS tidak harus berada dalam sindrom penafian kerana enggan mengakui peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat.
Pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan Datuk Mustafa Ali hari ini yang mengatakan hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) kukuh sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Bekas setiausaha agung PKR itu mengingatkan PAS tidak harus berada dalam sindrom penafian kerana enggan mengakui peranan ketua umum PKR itu.
"Isu Anwar bebas atau tidak tetap akan beri impak kepada Pakatan dan rakyat keseluruhannya, impak itu tetap relevan," kata bekas ahli Parlimen Machang itu kepada The Malaysian Insider.
"Pada 2004, kita sudah lihat bagaimana hubungan antara parti dengan parti tidak memadai dan buktinya Barisan Alternatif (BA) tidak mampu diselamatkan dan isu negara Islam akhirnya menyebabkan perpecahan," kata Saifuddin yang juga pengarah pilihan raya PKR.
Saifuddin juga membangkitkan prestasi parti pembangkang ketika itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya menang besar di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Saifuddin berkata, PAS tidak harus menafikan perkara tersebut dan membuat perbandingan dengan keputusan diperoleh PR pada 2008 dan 2013 selepas Anwar dibebaskan.
"Kita tidak perlu dalam sindrom penafian, kita harus jujur.
"Semasa pilihan raya 2008 dan 2013, pilihan raya ketika itu berlangsung ketika Anwar yang bebas dan hasilnya Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN. Malah menang undi popular.”
Saifuddin berkata, keputusan mahkamah pada Februari depan penting kepada masa depan PR dan juga harapan rakyat yang mahu melihat sistem 2 parti berjaya.
"Anwar adalah simbol perjuangan reformasi dan harapan untuk alternatif rakyat, maka keputusan mahkamah nanti tetap sangat penting.
"Anwar adalah seorang personaliti yang kuat, beliau (Mustafa) tidak boleh keluarkan kenyataan simplistik sedemikian," katanya.
Selaku pemimpin kanan, Saifuddin juga membidas Mustafa yang dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak bijaksana.
"Sebagai pemimpin senior, beliau (Mustafa) perlu keluar kenyataan yang lebih bijaksana," katanya.
Jika PAS enggan mengiktiraf peranan ketua umum PKR itu, Saifuddin berkata, biarlah rakyat sendiri yang menilai dan mengiktiraf signifikan Anwar dalam arena politik negara.
"Kalau benar PAS tidak iktiraf atau mengakui signifikan Anwar dalam politik dan negara, biarlah rakyat terbanyak dan pendokong reformasi di Malaysia terus berdoa demi pembebasan Anwar.”
Mustafa hari ini pada satu sidang media berkata hubungan PR akan tetap menjadi lebih kukuh walaupun tanpa Anwar jika dihukum penjara.
10 Februari depan ialah keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. – 28 Januari, 2015.
http://www.themalaysianinsider.com.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.