Followers

Sunday, December 7, 2014

YAB MB Azmin Enggan Komen Gesaan Pecat Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi


Dua hari selepas Istana Selangor menarik balik darjah kebesaran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali masih enggan mengulas perkara itu, ketika gesaan juga dibuat agar Anwar meletak jawatan sebagai penasihat ekonomi negeri. 

"Tak ada komen. Terima kasih," kata Azmin kepada media hari ini, mengulangi ayat serupa diucapkannya Khamis lepas, pada hari Sultan Selangor mengumumkan penarikan balik gelaran 'Datuk Seri' daripada ketua umum PKR it

Ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan Perangsang-Skimsel 2014 di Shah Alam, timbalan presiden PKR itu terus mengambil jalan selamat dengan mengelak menjawab soalan pemberita yang meminta beliau mengesahkan status terkini Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor.


Pada Khamis, Istana Selangor mengeluarkan kenyataan yang Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik gelaran 'Datuk Seri' itu berkuatkuasa 3 November kerana Anwar sering mempersoalkan kewibawaan istana sejak penghujung 2013.

Berikutan itu, ketua pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, Anwar sepatutnya melepaskan jawatan penasihat ekonomi negeri.

Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar pula mencabar Azmin memecat Anwar bagi membuktikan beliau menghormati maksud tersirat daripada titah Sultan itu.

Anwar dalam reaksinya berkata beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan atau permintaan kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menganugerahkan darjah kebesaran itu kepadanya pada 1992.

Beliau juga berikrar akan tetap menjalankan tugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dan terus menjunjung Perlembagaan negara, Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di negara ini.

Pada Khamis, ketika ditemui pemberita selepas berucap pada majlis penyerahan surat tawaran Skim Pembiayaan Perumahan SelangorKu (Dana-Sel) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, Azmin hanya berkata: "No comment," ketika diajukan soalan berhubung perkara itu.

Ditanya isu projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) pula, Azmin berkata hari ini, Kidex Sdn Bhd masih belum memberi maklum balas mengenai syarat yang ditetapkan kerajaan negeri kepada pemaju itu.

Tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum tamat tempoh perjanjian konsesi itu, yang antara lain menyatakan perjanjian klausa akan ditamatkan awal sekiranya pemegang konsesi mencapai keuntungan melebihi tempoh jangkaan.

"Setakat ini kerajaan negeri masih belum menerima maklum balas berkenaan syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Saya dah umumkan dalam belanjawan, dalam pertemuan dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga saya dah maklumkan. Ini pendirian kerajaan negeri tentang lebuh raya di Selangor," katanya.

Kidex Sdn Bhd pada mulanya diberi tempoh 12 bulan daripada tarikh perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 15 November 2013 untuk memenuhi beberapa syarat. Ia kemudian dilanjutkan sehingga 15 Februari 2015.

Azmin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) menetapkan, antara syarat utama pembinaan lebuh raya di Selangor ialah ia perlu mematuhi bukti kajian penilaian impak trafik yang menguntungkan pengguna serta penduduk.

Syarat itu turut terpakai kepada empat lagi projek lebuh raya di Selangor, iaitu Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Pantai Barat (Taiping-Banting), Lingkaran Luar KL-Hubungan Timur dan Damansara-Shah Alam (DASH).

Putrajaya dilaporkan sedia mendedahkan butiran perjanjian konsesi dengan Kidex jika pemegang saham dan penyumbang dana syarikat itu memberikan persetujuan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata, kelulusan Kidex akan diberi hanya selepas pihaknya berpuas hati semua syaratnya dipatuhi pemaju.

Kelulusan akhir projek kontroversi itu bagaimanapun kata Fadillah memerlukan persetujuan kerajaan negeri Selangor.-TMI
 
 
Batu Vs Kayu

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.