Followers

Wednesday, December 3, 2014

Undilah Lagi BN.. Penyokong Tegar Pasti Gembira Dengan Berita Ini

 
Antara rumah paling mahal di Malaysia ialah di Sabah, menurut satu badan pemikir, yang mendapati purata harga rumah di negeri Borneo itu 11 kali lebih tinggi berbanding purata pendapatan tahunan keluarga iaitu RM34,320.

Ini disusuli Sarawak dan Kuala Lumpur, kata Institut Rakyat, menggunakan data suku keempat 2012 yang dibekalkan sumber rasmi.

Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong berkata, pada amnya, rumah di Sabah dua kali lebih mahal daripada purata kebangsaan harga rumah, iaitu RM251,731.

Di Sarawak, purata harga rumah adalah RM330,594 sedangkan purata pendapatan isi rumah tahunan hanya RM36,564.

"Sabah dan Sarawak dibelenggu pendapatan isi rumah yang rendah serta harga rumah yang jauh lebih tinggi daripada purata nasional, dengan purata harga yang boleh menandingi Selangor," kata Yin dalam satu kenyataan hari ini.

Purata harga rumah di Kuala Lumpur adalah RM576,991 tetapi purata pendapatan isi rumah tahunan di bandaraya itu hanya RM70,164 atau RM5,847 sebulan.

Badan pemikir yang berkait dengan PKR itu membuat rumusan, rumah di ketiga-tiga negeri itu jauh di luar kemampuan berdasarkan Indeks Kemampuan Perumahan, selepas mengambil kira data sumber rasmi dan membuat perbandingan purata pendapatan isi rumah di peringkat negeri dengan purata harga rumah setiap negeri pada akhir 2012.

Ketiga-tiga negeri itu disusuli Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, iaitu negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

"Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ditempatkan di tangga keempat, kelima dan keenam sebagai negeri di mana rumah paling di luar kemampuan.

"Negeri ini mempunyai peluang membezakan mereka daripada kerajaan pusat dengan menjadikan pemilikan rumah dalam kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana," kata Yin.

Harga rumah di Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis dan Johor pula dikatergorikan sebagai "terlalu di luar kemampuan". Hanya Negeri Sembilan dan Melaka, dikategorikan sebagai "di luar kemampuan tahap sederhana".

"Bagaimanapun, purata harga rumah di negeri ini masih menjangkau 3 kali ganda pendapatan isi rumah tahunan masing-masing," katanya.

Harga rumah 3 kali ganda purata pendapatan isi rumah tahunan disifatkan sebagai tidak mampu milik.

Pada 2012, purata pendapatan isi rumah tahunan adalah RM43,512.

Yin berkata, menjelang akhir 2012, purata harga rumah adalah 5.79 kali pendapatan tahunan purata isi rumah di Malaysia.

Menjelang suku pertama 2014, Index Kemampuan Perumahan kebangsaan bertambah baik kepada 5.52, tetapi Yin berkata ia masih meletakkan rumah di Malaysia jauh di luar kemampuan jika menurut piawai antarabangsa. 
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.