Followers

Monday, December 22, 2014

Suspek Cubaan Rogol Dua Beranak Ditangkap Polis


Alor Setar: Polis menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana dipercayai terbabit dalam kejadian pencerobohan hingga mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang wanita dan anak perempuannya di Taman Harapan, Kuala Kedah dalam kejadian pada 18 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 1.30 pagi semalam di sebuah rumah di Kampung Telok Kechai, Jalan Kuala Kedah, di sini, berdasarkan risikan dan maklumat awam.

“Hasil siasatan awal polis percaya kejadian itu bermotifkan cubaan merogol anak perempuan mangsa, namun tindakan wanita berkenaan melawan suspek untuk mempertahankan diri menyebabkan dia ditetak di pergelangan tangan selain ditikam pada dada.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Mohd Nashir berkata, pemeriksaan juga menemui sebilah pisau di rumah suspek dipercayai digunakan ketika kejadian, namun siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengesahkannya.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 459 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah hingga menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan seorang wanita dan anak perempuannya mengalami kecederaan parah selepas ditetak dan ditikam dalam kejadian samun di rumah mereka.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa Ardiana Ahmad Kamil, 45, parah di perut, manakala anak perempuannya, Nur Amira Asaari, 22, cedera di dada, tangan kiri serta retak tulang lengan kiri.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai jurujual di bandar raya ini hanya tinggal berdua di rumah itu ketika kejadian.

Kedua-dua mereka kini masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, dan keadaan mereka dilaporkan stabil.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.