Followers

Tuesday, December 16, 2014

Pas Tidak Akan Berganjak, Kata Mustafa Ali kepada Utusan

 
Persoalan berapa lama lagi pakatan pembangkang mampu bertahan berikutan pelbagai siri perbalahan terbuka antara DAP dengan Pas dilihat makin menghampiri penghujungnya apabila Pas mula memberi bayangan tidak pasti tentang hayat pakatan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak mampu menjangka apakah kesudahannya kerjasama politik antara parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana hanya masa yang dapat memutuskan sama ada akan berlaku perpecahan atau sebaliknya.

Pada masa yang sama beliau menegaskan, Pas tidak akan sesekali berganjak daripada prinsip perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud walaupun ditentang keras oleh DAP kerana asas tersebut sudah menjadi pegangan parti berkenaan sejak sebelum pakatan ditubuhkan lagi.

“Kita tengok masa depan macam mana, kita tak tahu (tidak boleh menjangka) tapi ketika ini kita masih lagi bersama, masalah keluar atau kekal, kita tengok macam mana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini masa depan Pas dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk daripada Lim Guan Eng sendiri, khususnya berhubung isu hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP semalam.

Guan Eng dalam nada kerasnya semalam mendesak pakatan agar memuktamadkan pendirian untuk tidak melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang, kononnya perkara itu adalah aspirasi daripada penyokong pembangkang.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP itu bagaimanapun ‘dijawab’ oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dengan menegaskan Kerajaan Pas Negeri Kelantan tetap akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 29 Disember ini untuk meminda Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2014).

Langkah itu bagi melayakkan Kelantan membawa usul rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat dan seterusnya mendapat kebenaran melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Mustafa secara tegas berkata, pemimpin DAP perlu berhenti membuat kenyataan terbuka ke atas kepemimpinan Pas jika mahu suasana sihat dalam pakatan pembangkang dikekalkan kerana sikap tidak bertanggungjawab tersebut hanya memburukkan lagi keadaan.

Katanya, segala permasalahan yang timbul dalam pakatan sekarang ini berpunca daripada tindakan DAP sendiri yang menukar pendirian kerana pada tahun 2001, semua komponen parti pembangkang sudah bersetuju untuk menghormati dasar parti masing-masing.

“Kita sudah putuskan pada 2001 iaitu setuju untuk tidak setuju dengan menghormati dasar parti masing-masing. Sebab itu, Pas tidak membangkitkan secara terbuka soal Malaysian Malaysia. Jadi mengapa DAP mahu mempersoal isu hudud yang merupakan dasar perjuangan Pas?

“Hudud ini kita buat dalam rangka demokrasi kerana wujud jawatankuasa serta dibentangkan di DUN, jadi apa masalahnya? Jangan cuba paksa parti lain gugurkan dasarnya kerana takkan ada parti yang mahu tinggalkan asas perjuangannya,” jelasnya.
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.