Followers

Wednesday, December 3, 2014

Majlis Raja-raja tidak pernah bincang pertukaran nama jalan di KL

 Persidangan Majlis Raja-raja tidak pernah menetapkan atau meluluskan sebarang resolusi menitahkan Dewan Bandaraya Kuala Kuala Lumpur (DBKL) menamakan semula beberapa jalan di ibu negara dengan nama bekas Yang di-Pertuan Agong.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad turut mengesahkan perkara itu tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana sesi persidangan berkenaan.

"Apa yang sebenarnya berlaku ialah satu kertas cadangan dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja oleh Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat ke-234 Majlis Raja-raja pada 27 Februari 2014.

"Tetapi kertas cadangan itu ditarik balik oleh kementerian berkenaan dan tidak dipersembahkan semula untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi membetulkan fakta pemberitaan kurang tepat seperti yang tersiar pada 25 November lepas.

Pada 28 November lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan DBKL untuk menukar nama lapan jalan utama di sekitar Kuala Lumpur bukan dibuat atas permintaan Majlis Raja-raja, sebaliknya ia adalah keputusan kementerian.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah negara ini bagi memastikan rakyat terus mengingati mereka.

DBKL, dalam satu kenyataan terdahulu, mengumumkan jalan utama yang terlibat ialah Jalan Duta, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ipoh, Persiaran Duta, Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah, Lebuhraya Mahameru, Persiaran Mahameru dan Jalan Semarak.

Jalan-jalan itu ditukar nama kepada Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuhraya Sultan Iskandar, Persiaran Tuanku Ja'afar dan Jalan Sultan Yahya Petra.

Menurut DBKL, nama-nama baharu itu mula berkuat kuasa 26 November. – Bernama, 3 Disember, 2014.



/www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.