Followers

Wednesday, December 24, 2014

Ketika saham FGV merudum, pegawai atasan terus leka, dakwa Anak

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, pertemuan diatur untuk mendapatkan gambaran sebenar kejatuhan saham Felda Global Ventures yang semakin merudum gagal kerana ketiadaan sebahagian besar pegawai kanannya.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, pertemuan diatur untuk mendapatkan gambaran sebenar kejatuhan saham Felda Global Ventures yang semakin merudum gagal kerana ketiadaan sebahagian besar pegawai kanannya.

Walaupun harga saham Felda Global Ventures (FGV) terus merudum namun kebanyakan pegawai kanannya terus bersenang-lenang dan menghabiskan cuti tahunan mereka.

Itulah yang dapat dikesan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) ketika ingin berbincang dengan FGV dalam kunjungan mereka ke pejabat badan korporat Felda itu semalam.

Terkini, harga saham FGV mencatatkan kejatuhan RM2.32, berbanding harga tawaran awam RM4.45 seunit pada 28 Jun 2013.

Ini bermakna peneroka yang membeli 800 unit saham pada harga RM3,640 pada masa penyenaraian dahulu kerugian sebanyak RM1,784 lebih-lebih lagi di waktu kejatuhan harga sawit.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata pertemuan itu yang diatur bagi tujuan mendapatkan gambaran sebenar tentang kejatuhan saham FGV yang semakin merudum, namun ketiadaan pegawai kanan FGV menggagalkan usaha itu.

Kata Mazlan, pihaknya dimaklumkan kebanyakan pegawai kanan FGV sedang bercuti, sedangkan FGV ketika ini berada dalam satu tempoh kejatuhan yang membimbangkan.

"Bagaimana ketika saham FGV sedang menjunam jatuh ini, kebanyakan pegawai kanannya boleh bercuti? Jelas mereka menganggap kejatuhan saham ini sebagai satu perkara remeh," kata beliau yang ditemui sejurus menyerahkan memorandum kepada pegawai kanan bahagian Sumber Manusia, di Menara Felda, pagi semalam, lapor Harakahdaily.

Bagaimanapun, Mazlan berkata beliau akan mengemukakan satu lagi surat untuk diadakan perbincangan bersama FGV dengan mengharapkan kehadiran pengerusi Felda sendiri, Tan Sri Mohd Isa Samad untuk sama-sama bertukar pandangan.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan jika permintaan tersebut tidak diendahkan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil langkah lebih drastik bagi memastikan hak hampir 1.5 juta peneroka terbela.

Selain Mazlan, turut serta pada pertemuan itu Penasihat Ekonomi Anak, Dr. Rosli Yaakop serta barisan kepimpinan Anak.

Sebelum ini Mazlan mendakwa Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad digantung jawatannya oleh Isa.

"Faizoull kini menerima giliran. Digantung jawatan selama dua bulan serta merta. Pengumuman mengaibkan beliau dan keluarganya tetapi saya yakin ada sebab besar kenapa Faizoull menjadi musuh utama kepada Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), Tan Sri Isa Samad ketika ini," kata Mazlan.

Menurutnya, apa yang berlaku kepada Faizoull mengulangi apa yang berlaku kepada pengarah besar terdahulu, Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang 'dipetisejukkan' serta 20 pegawai lagi ditukar, turun pangkat dan sebagainya sebelum ini. – 24 Disember, 2014.


http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.