Followers

Wednesday, December 24, 2014

Banjir di Terengganu: Amaran 2 wakil rakyat hampir jadi kenyataan


 
Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menunjukkan gambar-gambar projek timbunan pasir di muara Sungai Terengganu yang kini terbukti benar.

Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menunjukkan gambar-gambar projek timbunan pasir di muara Sungai Terengganu yang kini terbukti benar.

Amaran yang diberikan dua wakil rakyat Kuala Terengganu pada10 Oktober 2013 berkenaan projek menambak di muara Sungai Terengganu boleh membawa bencana kepada penduduk negeri itu kini hampir menjadi kenyataan apabila sebahagian bandar itu dilanda banjir.

Ketika itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Raja Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi berkata projek bagi projek esplanade yang dibuat kerajaan negeri sangat merbahaya.

"Kami sangat bimbang jika projek ini diteruskan tanpa kajian mendalam bakal menyebabkan bencana kepada lebih 150,000 penduduk Kuala Terengganu ini," kata mereka kepada The Malaysian Insider.

Hari ini, penduduk di situ mula bimbang apabila muara Sungai Terengganu dipenuhi air dan sebahagian bandar sudah mula dinaiki air memenuhi kawasan Masjid Kristal yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri kerana berjaya menarik pelancong ke negeri itu.

Pasar Baru Chabang Tiga dan Kampung Cina di Kuala Terengganu turut dinaiki air kelmarin.

Menurut Raja Baharin, projek penambakan sungai di Shahbandar yang tidak dirancang dengan baik menyebabkan kedua-dua kawasan itu dinaiki air ekoran aliran sungai yang tidak sempurna.

Ekoran itu, kerajaan didesak mengkaji semula dua projek yang didakwa tidak mematuhi prosedur Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) hingga mengakibatkan berlakunya banjir di dua lokasi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ia juga katanya, berlaku pada projek pembinaan tapak baharu Pasar Cabang Tiga yang turut dinaiki air dan mengotorkan kawasan jualan makanan dengan air longkang.

"Kedua-dua pembangunan itu dibuat tanpa restu Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) yang sepatutnya mengawal polisi ini. Bagaimanapun, kebanyakan pandangan JPS dan EIA diketepikan begitu sahaja," tegas beliau sebagaimana disiarkan Harakahdaily hari ini.

Kedua-dua projek tersebut, kata beliau sepatutnya memberikan kemudahan lebih baik jika ia dirancang dengan baik dan teratur.

Namun, beliau yang merupakan seorang arkitek terkemuka di negeri ini mendakwa pembangunan tersebut hanya dilihat mendatangkan masalah kepada peniaga serta penduduk tempatan apabila ia dinaiki air, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh.

Raja Bahrin juga tidak menolak kemungkinan pembangunan itu dilakukan semata-mata mengejar keuntungan peniaga dan kontraktor tertentu hingga mengaibkan kepentingan awam.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua projek itu, khususnya berkaitan pemberian tender terbuka serta mengapa pandangan JPS dan EIA diketepikan.

"Kedua-dua masalah projek ini saya bangkitkan di Parlimen sejak 2013, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak berwajib. Bagi saya, kerugian harta rakyat dan ancaman nyawa menjadi risiko masyarakat tempatan," kata beliau lagi. – 24 Disember, 2014.


http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.