Followers

Monday, December 22, 2014

Kerana takut hilang kuasa, UMNO sanggup ‘mengemis’ kepada Perkasa dan ISMA Zairil - Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyelar tuduhan jahat dan tidak masuk akal bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat Melayu sudah hilang dominasi dan menjadi pengemis kepada kaum Cina.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, beliau sedih kerana Dr Mahathir sanggup menipu orang Melayu serta merendahkan martabat sendiri sehingga menggambarkan senario yang bukan sahaja mustahil, malah merupakan tipu muslihat politik zaman dahulu kala.

Menurutnya, hujah Dr Mahathir hanyalah muslihat politik kerana kuasa Melayu dalam setiap aspek masyarakat Malaysia sebenarnya berada di kemuncaknya pada masa ini, termasuk menguasai setiap jawatan penting kerajaan, daripada Perdana Menteri kepada 12 daripada 13 menteri besar negeri, semuanya dipegang oleh orang Melayu.

 Katanya, orang Melayu juga menguasai institusi-institusi negara seperti badan kehakiman, pasukan polis, perkhidmatan awam dan tentera.

Melayu juga membentuk majoriti penduduk Malaysia, selain mencatatkan kadar kesuburan yang satu setengah kali lebih daripada orang Cina. Ini bermakna bahawa orang Cina dan kaum-kaum lain semakin mengecil dari segi populasi penduduk.

 “Dari segi ekonomi, meskipun pemilikan ekuiti Melayu pada tahun-tahun awal Dasar Ekonomi Baru mungkin dalam digit tunggal, pemilikan ini telah berkembang dengan pesat sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan untuk menjawab muslihat politik perkauman Dr Mahathir.

 Dr Mahathir telah dilaporkan media sebagai berkata bahawa parti-parti dominasi Melayu seperti UMNO, PKR dan PAS terpaksa meminta sokongan dari DAP untuk memenangi PRU yang disifatkannya sebagai Melayu menjadi pengemis.

Zairil yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menjelaskan, Bank Pembangunan Asia telah melaporkan bahawa ekuiti yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia dan penanda aras pasaran Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) masing-masing berada pada kadar 36 peratus dan 54 peratus.

“Ini bermakna bahawa sebahagian besar ekonomi negara kita dikuasai oleh GLC yang secara umumnya dikuasai oleh orang Melayu,” tambah beliau.

Apa yang sebenarnya berlaku, kata Zairil, ialah Dr Mahathir cuba menjadi wira untuk menyelamatkan UMNO kerana beliau sedar UMNO sedang menghadapi risiko kehilangan kuasa kerana semakin ditolak oleh rakyat, termasuk orang Melayu sendiri.

Ini bererti bukanlah orang Melayu yang bakal hilang kuasa, sebaliknya UMNO itu sendiri yang semakin tidak relevan, khususnya selepas prestasi buruk dalam pilihanraya umum tahun lalu, kata beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.

Zairil turut mempersoalkan hujah kononnya Melayu boleh hilang kuasa atau menjadi pengemis sedangkan kedudukan istimewa Melayu terjamin dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang Pindaan Perlembagaan melibatkan kedudukan Melayu memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kelulusan Raja-raja Melayu. Jaminan ini bermakna tidak akan ada sebarang ancaman terhadap orang Melayu di negara ini.

“Berikutan prestasi sangat mengecewakan pada PRU lalu, UMNO sebenarnya yang telah pun melutut dan menjadi ‘pak turut’ kepada sayap kanan perkauman seperti Perkasa dan ISMA. Bukti  paling jelas adalah tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membut pusingan-U terhadap janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan,” katanya.

Selain menjadi ‘pengemis’ kepada Perkasa dan ISMA, Zairil berkata, ketakutan UMNO juga semakin membuak akibat ketidakmampuan mereka merencana agenda ekonomi yang jelas akibat masalah nilai ringgit kepada rakyat.

“Harga komoditi semakin merosot dengan prospek inflasi, penggunaan domestik juga bakal mengecut akibat pelaksanaan GST.

“Jadi, adalah tidak menghairankan bahawa UMNO dan Mahathir terpaksa menjaja ketakutan serta memilih cara terdesak untuk memulihkan sokongan yang teruk,” ujarnya. – Roketkini.com


Dicatat oleh ELBI RISALAH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.