Followers

Friday, December 26, 2014

kerajaan S'gor digesa pindah projek ternak babi !

 

 
 Kira-kira 100 penduduk kampung di Sepang hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bagi membantah projek ternakan babi di kawasan tersebut.

Salah seorang wakil penduduk, Hanapiah Mohamad berkata, beliau berharap agar kerajaan negeri dapat memindahkan projek ternakan itu memandangkan ia dibuat di kawasan yang majoritinya kaum Melayu.

Katanya, sebagai penduduk, dia tidak menghalang projek ternakan itu dibuat.

Bagaimanapun, katanya, dia mengharapkan supaya projek itu dibuat ditempat lain berikutan  bau busuk yang melanda kampung di kawasan sekitar projek ternakan itu.

"Kita minta supaya dialihkan penempatan itu ke tempat lain. Dan bukan di kawasan di situ. Kerajaan Negeri ada kuasa untuk alihkan projek itu.

"Jadi kita harap dipindahkanlah. Kita bukan menolak projek ini tetapi kita minta dipindahkan ke tempat yang jauh," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum memorandum di serahkan kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Radzi Razak.

Ketua Kampung Tumbuk Darat, Tarmudi Tushran turut berpendapat bahawa kawasan projek ternakan babi itu tidak sesuai di kawasan hampir dengan penduduk kampung. 
 
Katanya, walaupun teknologi penternakan yang digunakan canggih, namun bau yang kurang enak tetap ada. 
 
"Teknologi itu kita setuju. Canggih. Tapi tempat tak sesuai sebab hampir dengan kampung. Babi ini ada bau kurang enak. 
 
"Tapi kalau dah kata canggih sangat teknologinya, kenapa tak buat di Shah Alam sahaja?" katanya. 
 
Sebelum itu, kesemua penduduk yang hadir di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam membawa sepanduk yang bertulis "Rumah babi diutamakan, rumah rakyat dipinggirkan" dan "Rakyat tolak projek babi". 
 
Selain itu, terdapat juga kain rentang yang mengecam ADUN Tanjung Sepat Mohd Haslin Hassan yang bertulis "YB Ir Haslin sokong penempatan babi, kami rakyat bantah". 
 
Selepas memorandum diserahkan, seorang lelaki daripada kumpulan tersebut dengan memakai kain di muka dan memegang sangkar burung yang berisi dua ekor ayam, tiba-tiba enggan berganjak dan berkeras mahu menyerahkan sangkar itu kepada Azmin. 
 
Lelaki tersebut yang tidak diketahui identitinya itu tiba-tiba meluru menuju ke bangunan SUK. Bagaimanapun, dia dihentikan oleh seorang anggota polis iaitu DSP Che Din Ali daripada IPD Shah Alam.  
 
Bagaimanapun, lelaki tersebut tiba-tiba menjerit dengan melafazkan dua kalimah syahadah dan 'lailahailallah'. 
 
Selepas itu, beliau berjaya ditenteramkan oleh seorang lagi anggota polis yang kemudiannya mengiringinya keluar dari kawasan bangunan SUK. 
 
 
Malaysiakini 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.