Followers

Monday, December 29, 2014

Kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ‘kejutan besar’, kata Tony Fernandes


Published: 29 December 2014
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bercakap pada sidang media di Surabaya berhubung kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bercakap pada sidang media di Surabaya berhubung kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat itu masih tiada jawapan terhadap apa yang berlaku kepada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pagi Ahad.

Bercakap pada sidang media di Surabaya, Indonesia, beliau berkata sebelum pesawat Airbus A320-200 untuk perjalanan ke Singapura itu berlepas, pesawat itu dalam keadaan baik dan menjalani penyenggaraan seperti dijadualkan pada November.

"Ini satu kejutan besar kepada kami...sukar dipercayai," kata Fernandes yang kelihatan suram pada sidang media itu yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia yang ditonton di Kuala Lumpur.

Fernandes berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai kehilangan pesawat itu yang membawa 162 penumpang, sambil menekankan "kita tidak tahu apa yang silap”.

Hartawan penerbangan Malaysia itu berkata beliau menyerahkan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat berusia enam tahun itu yang berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi tetapi terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Pesawat itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi waktu tempatan.

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 155 rakyat Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), Perancis (1) dan Britain (1).

Fernandes berkata keutamaan syarikat itu sekarang ialah menjaga kebajikan waris terdekat penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

Dalam satu siri tweet sebelum ini, beliau berkata: "Saya, sebagai CEO kumpulan anda, akan bersama menempuh detik sukar ini. Kita akan menempuh pengalaman pahit yang dahsyat ini bersama-sama".

Fernandes berkata beliau terharu kerana mendapat sokongan yang terlalu banyak terutama daripada syarikat penerbangan lain di atas insiden tersebut.

"Ini igauan paling buruk bagi saya," kata usahawan itu sebelum berlepas ke Surabaya, 'tempat asal kebanyakan penumpang dan pegawai pengurusan AirAsia Indonesia'. – Bernama, 29 Disember, 2014.

www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.