Followers

Sunday, December 7, 2014

Jika masih hidup, Tunku pasti sedih lihat politik sempit UMNO

 
This Tiger’s still roaring

This Tiger’s still roaring

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Jika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj masih hidup beliau pasti menjadi individu paling sedih melihat keadaan Malaysia masih terbelenggu dengan masalah kaum, perselisihan agama dan rasuah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata demikian dalam kenyataannya semalam sempena memperingati ulang tahun ke 24 pemergian Perdana Menteri pertama Malaysia, yang meninggal dunia pada 6 Disember 1990.

“Tunku tentu berasa ngeri jika beliau melihat bagaimana Perhimpunan Agung UMNO dijadikan tempat mengapi-apikan politik perkauman dan hasutan agama dengan menggambarkan bahawa orang Melayu terkepung dan Islam sedang diancam.

“Beliau juga pastinya terkejut dengan tindakan beberapa perwakilan UMNO mendakwa orang Melayu telah menjadi ‘hamba di negara sendiri’ dan cubaan menukar slogan 1Malaysia kepada 1Melayu,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. Tegas Kit Siang mungkin perkara paling mengejutkan bagi Tunku adalah tindakan pengecut pimpinan UMNO yang gagal bertindak terhadap politik tidak bertanggungjawab dan kebencian seperti dilakukan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan perwakilan Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Mashitah dalam ucapannya baru-baru ini memfitnah kononnya orang Cina di Kedah membakar Al-Quran ‘helai demi helai dalam upacara sembahyang’, manakalai Zaidi menuduh kejayaan Kerajaan Pulau Pinang adalah berpunca dari kegiatan haram.

Fitnah Mashitah terbukti palsu apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri mendedahkan bahawa Al-Quran itu tidak dibakar, tetapi dikoyak seorang lelaki tidak siuman, yang telah ditahan di wad psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah.

Merujuk peningkatan tiga anak tangga negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI), Kit Siang menyatakan, Tunku tentu tidak akan gembira kerana kedudukan itu jauh lebih rendah berbanding sebelumnya, membuktikan Malaysia salah satu negara paling teruk terjebak dalam rasuah dan skandal kewangan.

 “Rasuah dalam tempoh tiga dekad bertambah buruk, jauh berbeza daripada pentadbiran tiga Perdana Menteri pertama Malaysia apabila rasuah tidak pernah menjadi masalah besar dan sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

Bilakah agaknya Malaysia boleh kembali kepada politik sederhana dan masyarakat tanpa rasuah seperti dua dekad pertama negara?,” kata Kit Siang.


Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.