Followers

Sunday, December 7, 2014

Gubal hukuman lebih berat terhadap sindiket mesin judi haram

SHAH ALAM – Pihak penggubal undang-undang diminta mempertimbangkan cadangan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap sindiket mesin judi haram serta pihak yang bersekongkol dengan mereka.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Samah Mat berkata, ini berikutan hukuman sedia ada tidak cukup berat sehingga menyebabkan golongan itu tidak gentar dan berani mengulangi kegiatan mereka walaupun setelah dikenakan tindakan.

Sebagai contoh di negeri ini katanya, walaupun pihaknya memperhebatkan operasi membanteras sindiket mesin judi haram setiap hari, mereka terus menjalankan kegiatan itu terutamanya di rumah-rumah kedai.

"Justeru, untuk jangka masa panjang, kita merasakan perlu ada penelitian semula dari sudut perundangan melibatkan hukuman yang lebih berat kepada pemilik premis mesin judi haram sama ada menambah jumlah denda lebih tinggi serta penjara dalam tempoh masa yang lama.

"Hukuman itu juga perlu dikenakan kepada tuan punya premis perniagaan, kediaman atau sebagainya yang menyewakan harta mereka kepada pihak lain yang menjalankan kegiatan mesin judi haram.

“Malah mahkamah mungkin boleh mengarahkan harta mereka dirampas. Sebagai pemilik premis, mereka sepatutnya mengambil maklum mengenai tujuan pihak lain menyewa premis mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Samah menjelaskan, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, hukuman kepada pemilik premis ketika ini hanya berupa denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, pemain judi pula boleh didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan wujudnya penglibatan ahli-ahli politik yang didakwa melindungi sindiket judi haram.

“Dakwaan tersebut memerlukan siasatan terperinci selain disusuli dengan bukti-bukti yang kukuh supaya tindakan undang-undang sewajarnya boleh diambil. Undang-undang tidak harus selektif kepada pihak tertentu. Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, mereka tidak boleh terlepas daripada dikenakan hukuman yang sewajarnya," ujar beliau.

Sementara itu, Abdul Samah dalam satu sidang akhbar sempena majlis pelupusan mesin judi di Subang Jaya dekat sini hari ini memberitahu, pihaknya mengenal pasti lima daerah di negeri itu iaitu Petaling Jaya, Kajang, Serdang, Gombak dan Ampang sebagai kawasan tumpuan sindiket perjudian haram, berdasarkan operasi menggempur aktiviti tersebut sepanjang tahun ini.

Katanya, daerah-daerah terbabit menjadi tumpuan sindiket berkenaan disebabkan mempunyai kemajuan pesat serta kawasannya yang luas.

Pada majlis tersebut, sebanyak 3,318 komputer yang dijadikan mesin judi bernilai RM2.6 juta telah dimusnahkan. Turut dimusnahkan adalah sebanyak 204,614 keping cakera video digital (DVD) yang dirampas mengikut Seksyen 18(4) dan Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002.
habis

- See more at: http://www.utusan.com.my.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.