SHAH ALAM - Indonesia mengakui bercadang akan mengebom mana-mana kapal asing yang melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan republik itu sebagai pengajaran kepada penceroboh.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno berkata, bagaimanapun pengeboman itu tidak akan dilakukan ketika anak kapal masih berada di atas kapal.
“Anak kapal akan diselamatkan terlebih dahulu, kemudian apabila kapal sudah kosong baru dibom untuk menenggelamkannya.
“Ia sebagai pengajaran kepada semua penangkap ikan agar tidak mengulangi perbuatan salah itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti yang dipetik dari media negara itu, Kompas.com bahawa Indonesia akan mengebom mana-mana kapal asing yang melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairannya.
Herman berkata, perlaksanaan itu akan dikenakan kepada kapal penangkap ikan tanpa izin dari mana-mana negara.
“Ia juga bukan tertumpu kepada kapal haram dari Malaysia sahaja, tetapi dari Myanmar, Thailand, Vietnam atau negara lain yang menangkap ikan tanpa izin di perairan kami akan dikenakan hukuman sedemikian
"Namun mengenai pengeboman itu, ia baru cadangan dan perkara itu dilihat untuk menakutkan pihak tidak bertanggungjawab agar tidak memasuki perairan kami secara haram,” katanya.
Tambahnya, perlaksanaan pengeboman itu hanya akan dilakukan berdasarkan peraturan ditetapkan.
“Ia dilakukan ada aturannya, agar sesuai dengan undang-undang. Supaya orang tidak ceroboh lagi.
“Sama dengan anak kapal yang ditangkap akan dikenakan tindakan dengan adil,” katanya.
- sharian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.