Followers

Thursday, December 18, 2014

Gurindam seloka penghibur lara - A KADIR JASIN

 
LAMA sudah kita tidak berseloka. Melepas rindu mengubat duka. Dalam Malaysia kita, Tanah Melayu tercinta, macam-macam ada.

Abdul Rashid Abdul Rahman orang terbuka. Kalau bercakap jelas dan nyata. 

Kepada pemerintah dia berkata, cakaplah benar jangan berdusta. Maka murkalah para pembesar. Kerana peluru terkena sasar.

Itulah juga yang saya katakan. Khabar baik jangan diada-adakan. Berita buruk jangan disembunyikan. Rakyat jelata tidak bangang. Merekalah yang rasa susah dan senang.

Harga getah jatuh merudum. Pekebun kelapa sawit pun dah lama tak senyum. Penanam pada lebih-lebihlah lagi.

Dari dulu sampai kini. Kais pagi makan pagi. Sampaikan Felda Global pun dah mula rugi.

Ramai dok kutuk Ibrahim Ali. Melayu Cina kepadanya tabur benci. Mengata mengumpat berguni-guni. Tapi nak jawab hujah dia, tak berapa mengerti.

Kalau Tok Him satu duit tak guna, pasal apa puluh ribu Melayu ikut dia? Dia bukan ada kuasa. Dia pun bukan orang kaya. Dia tak bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia. Tapi orang totok serta profesor, berduyun-duyun ikut dia.

Cakap Tok Him orang ramai peduli. Sebab dah tak percaya YB dan Menteri. Jadi jangan dok asyik nak perli-perli. Silap-silap YB hilang kerusi sebab rakyat tak undi.

PM pun kenalah berhati-hati. Jangan dok asyik nak pergi bercuti. Sambut tahun baru di luar negeri. Ada orang dia kata, belum tentu PM bercuti di luar negara. Masih berfikir dan berkira-kira. Sebab blogger dah mula tanya.

Berkenaan Mukhriz saya tak terkejut. Jawatan dalam MKT dah kena lucut. Dengar cerita di Kedah serabut. Sesama Umno depa dok berebut. Tapi orang PM kata, cerita itu fitnah semata-mata. Dalam MKT Mukhriz masih ada.

Mukhriz rampas Kedah dari Pas. Takkanlah jawatan dia mereka nak rampas? Kalau Presiden buat juga, nampak dia cari bahaya. Silap-silap Kedah Pas tawan semula. Jadi fikirlah sebelum buat apa-apa.

Di Selangor lain pula cerita. Dalam PRU BN menderita. Cakap besar tak terkata. PM percaya sangatlah “gumbira”. Bila bilang undi tinggal 12 kerusi saja. Mohd Najib kata dia malu tidak terkira. Tapi kong kali kong sama saja. Noh Omar tetap ketua.

KLIA 2 berlopak-lopak. Semua yang tengok tentu nampak. Inilah akibat pilih kontraktor haprak. Tapi jangan buat apa-apa. Dalam lopak boleh bela keli dan tilapia. MAHB boleh buat untung segera. 

Extraordinary income kata jurukira. Semua orang bertepuk gembira. Itulah standard KPI kita.

Banyak lagi yang boleh dicerita. Tanah runtuh dan mala petaka. Yang kena tangkap pendatang dan pekerja. Tauke besar bebas juga. Pegawai kanan buat macam biasa. Rasuah dan salah guna kuasa tetap berleluasa. Tunjuk simpati di bibir saja.


Wallahuaklam, susah kita nak kata. 

- http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.