Followers

Thursday, December 18, 2014

Bantah Notis Merah terhadap Dr Yusuf Qaradhawi

 
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) membantah dengan keras tindakan Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) yang mengeluarkan Red Notice (Notis Merah) pada 4 Disember lalu bermaksud untuk menahan Dr Yusuf Qaradhawi dan Wajdy Ghoneim yang didakwa terlibat dengan kegiatan menghasut untuk melakukan keganasan dan aksi teroris.

Dakwaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir terhadap Qaradhawi, 88, yang tercatat dalam rekod Notis Merah itu ialah “merestui, menghasut dan membantu melakukan pembunuhan sengaja, membantu banduan untuk melarikan diri, pembakaran, vandalisme dan mencuri".

Manakala Sheikh Wagdy Ghoneim, 63, pula dikehendakki atas dakwaan “jenayah keganasan, bunuh, culik, menyiksa dan memilikki senjata tanpa lesen".

Kami menarik perhatian bahawa regim Mesir sendiri kini sudah dipersoalkan oleh banyak pihak mengenai penindasan politik, penderaan, penculikan dan keputusan mahkamah yang dipolitikkan di negara tersebut. Pihak PBB dan banyak NGO hak manusia telah mengkritik Mesir yang sewenangnya melabel sebarang penentangan sebagai teroris tanpa sebarang bukti.

Mesir jelas, selepas rampasan kuasa pada 3 Julai 2013 melakukan pelbagai perubahan undang-undang untuk memenuhi agenda regim pemerintah supaya sebarang suara dari mana-mana pihak yang mengkritik dan membantah pemerintah dihapuskan. Regim tersebut melakukan tindakan sewenangnya untuk menindas kebebasan bersuara, kebebasan media serta kebebasan berhimpun secara aman. Padahal ia adalah hak yang diisytiharkan dalam Deklarasi Universal Hak Manusia.

Kerajaan Mesir kini mengharamkan Ikhwan Muslimin sebagai organisasi teroris tanpa sebarang justifikasi undang-undang. Menjadi ahli atau menyokong organisasi tersebut dianggap suatu jenayah yang boleh dihukum.

Manakala jurnalis atau media yang mengkritik regim juga dilabel teroris. Tiga orang jurnalis Al-Jazeera telahpun dihukum 7 hingga 10 tahun penjara hanya kerana mereka didakwa melaporkan berita yang tidak sama dengan versi pemerintah.

Penahanan secara arbitrari yang sudah mencecah lebih 28,000 rakyat Mesir juga melibatkan 522 wanita, 926 kanak-kanak, 180 doktor, 166 journalis dan 234 peguam sepanjang satu tahun yang lalu (laporan AOHR UK).

Lebih parah banduan Mesir disiksa dalam secara tidak berperikemanusiaan. Lebih 118 tahanan politik yang telah mati dalam tahanan sejak rampasan kuasa 3 Julai 2013.

Pihak berkuasa telah melakukan pembunuhan massa dalam insiden Rabaa, Al-Nahda, dan Al-Manassa di mana ribuan orang awam terbunuh dan cedera. Tidak ada sebarang langkah untuk mengheret mereka yang bertangungjawab dalam kalangan polis dan tentera kemuka pengadilan.

Sistem kehakiman Mesir telah runtuh. Pembunuhan beramai-ramai, penjara seumur hidup ke atas penentang politik yang tidak mendapat pembicaraan yang adil, berleluasa. Malah mantan Presiden Hosni Mubarak dan pembantu-pembantunya terlepas dari dakwaan membunuh ratusan rakyat awam pada Januari 2011 sedangkan pihak keselamatan terus melancarkan serangan ke atas rakyat tanpa sebarang belas kesian. Mereka yang ditahan ketika demonstrasi aman disiksa dan dinafikan sebarang rawatan dalam pusat tahanan.

Semua rekod ini yang didokumentasi sendiri oleh PBB dan pelbagai organisasi hak manusia serta media antarabangsa sepatutnya menjadi alasan kenapa Notis Merah ke atas Yusuf Qardhawi tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Interpol atas desakan pihak Mesir. Jika ia diteruskan ia akan menjadi rangsangan kepada pihak berkuasa regim Mesir untuk meneruskan penindasan dan pelanggaran hak manusia.

Kami juga menegaskan tindakan Interpol juga adalah bertentangan dengan Artikel (3) dalam piagamnya yang ditubuhkan dalam semangat Deklarasi Universal Hak Manusia yang menyatakan “adalah dilarang keras, ....untuk melakukan intervensi atau aktiviti yang bersifat apolitik, militari, agama atau perkauman" ( strictly forbidden…to undertake any intervention or activities of apolitical, military, religious or racial character).

Dengan mengeluarkan Notis Merah untuk menahan figur tersohor dalam kes yang sangat jelas boleh dipersoal dan terang-terangan suatu rekaan akan mendedahkan Interpol kepada imej yang tidak boleh dipercayai dan sebuah agensi yang tidak berkecuali. Tuduhan yang didakwa dalam senarai Notis Merah itu tidak berasas dan tidak punya nilai undang-undang. Walhal sebahagian mereka yang didakwa sudahpun dihukum bunuh.

Tuduhan jenayah menghasut dalam Notis Merah itu memerlukan syarat perlakuan memujuk, mengalakkan, merangsang, menekan atau mengugut sehingga seorang itu terpengaruh untuk melakukan jenayah. Hal ini semasekali tidak terdapat kepada Yusuf Qaradhawi dalam perbuatan mahupun dalam ucapannya.
 
Malah hasutan yang didakwa itu semestinya sangat serius, khusus dan langsung seperti mengeluarkan arahan, membayar, memberi senjata atau secara khusus menyuruh seseorang melakukan jenayah. Tidak ada kenyataan boleh dianggap suatu hasutan jika ia tidak secara khusus membawa maksud menghasut.

Bila kenyataan yang didakwa oleh Notis Merah tidak memenuhi maksud yang khusus bersifat menghasut, maka jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak regim Mesir itu adalah kenyataan politik yang bermaksud untuk menindas siapa sahaja yang mempunyai pendirian yang menentang rampasan kuasa oleh tentera. Tidak ada dalam apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang dituduh yang boleh dianggap suatu jenayah di sisi undang-undang antarabangsa dan undang-undang hak manusia.

Mengikut artikel 33 Konvensyen Pelarian Geneva 1951 dan protokol 1967 “Tidak ada negara yang memeterai kontrak boleh mengusir atau menyerah seorang pelarian dalam apa bentuk sekalipun kepada mana-mana wilayah dimana nyawa dan kebebasannya diancam atas sebab etnik, agama, kenegaraan, keanggotaan dalam sesuatu kumpulan sosial atau pendirian politik." (No Contracting State shall expel or return (“refouler”) a refugee in any manner whatsoever to the frontiers of territories where his life or freedom would be threatened on account of his race, religion, nationality, member- ship of a particular social group or political opinion ).

Para (1) dalam Artikel (3) Konvensyen Menentang Penderaan dan Layanan Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menghina atau Hukuman (Torture and other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment) menyatakan “Tidak ada negara boleh mengusir atau menyerah kembali seseorang kepada negara lain dimana terdapat alasan yang kukuh untuk mempercayai bahawa dia boleh terdedah kepada penyiksaan." (No State Party shall expel, return ("refouler") or extradite a person to another State where there are substantial grounds for believing that he would be in danger of being subjected to torture)

Dr Yusuf Qaradhawi adalah ilmuan dan ulama tersohor yang mempunyai rekod kesarjanaan yang menolak semua jenis ekstremisme. Pengajaran beliau berteraskan kepentingan kesederhanan dan toleransi. Beliau tidak pernah melontar pandangan kriminal. Waran penahanan berpunca dari kelantangan beliau mengutuk rampasan kuasa di Mesir dan segala pelanggaran hak manusia.

Kami mendesak Interpol mematuhi peraturannya sendiri dan segala peruntukan undang-undang antarabangsa dengan menarik balik Notis Merah terhadap kedua tokoh tersebut yang dikeluarkan atas permintaan kehakiman dan pendakwaan awam Mesir.

Kami mendesak Interpol menarik balik notis tersebut untuk menahan Qaradhawi dan Ghoneim dan menolak sebarang tekanan terhadap agensi tersebut demi menyelamatkan reputasi, integriti dan sifat berkecualinya.

Pihak pemerintah Mesir kini sedang tercemar dengan imej memalsukan pendakwaan untuk menindas penentangnya. Dunia perlu bangkit menentang kezaliman yang berleluasa dijalankan oleh regim Mesir yang didalangi oleh kuasa imperialis Barat dan didukung oleh pemimpin-pemimpin Arab yang berkepentingan.


Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Mapim
Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi Shura/KUMS Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.