Followers

Saturday, December 6, 2014

AS bimbang Najib kekalkan Akta Hasutan


Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata, pihaknya bimbang tentang kerajaan Malaysia menggunakan sistem perundangannya ketika dua negara itu sedang menjalankan hubungan baik. –

Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata, pihaknya bimbang tentang kerajaan Malaysia menggunakan sistem perundangannya ketika dua negara itu sedang menjalankan hubungan baik.

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan 1948 merunsingkan Amerika Syarikat apabila Naib Presidennya mempersoalkan undang-undang itu digunakan hanya untuk menyekat kuasa pembangkang.

Joe Biden dalam Twitternya berkata, pihaknya bimbang tentang kerajaan Malaysia menggunakan sistem perundangannya ketika dua negara itu sedang menjalankan hubungan baik.

"Ketika hubungan antara Amerika Syarikat-Malaysia berkembang, penggunaan sistem perundangan dan Akta Hasutan oleh kerajaan Malaysia untuk menyekat pembangkang menimbulkan persoalan tentang kedaulatan undang-undang," katanya.

Namun, beliau berharap Malaysia dapat membuktikan ketelusan sistem kehakiman dan perundangannya semasa membuat keputusan kes Liwat II melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kes rayuan Anwar Ibrahim peluang penting buat Malaysia membetulkan keadaan dan menunjukkan keyakinan terhadap sistem demokrasi dan badan kehakimannya," katanya.

Najib, semasa Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra 27 November bulan lalu, mengumumkan Akta Hasutan dikekalkan walaupun pernah berjanji untuk memansuhkannya.

Malah, akta itu akan diperkukuhkan dengan menambah peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menuntut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Najib berkata, keputusan dibuat selepas mendengar pandangan sayap Pemuda dan Puteri Umno, akar umbi serta badan bukan kerajaan.

Najib pada 11 Julai 2012 mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Peruntukan yang dicadangkan dalam akta itu katanya akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Amerika Syarikat melalui kedutaannya di Malaysia pada Oktober lalu pernah mengingatkan Najib supaya menunaikan janjinya selari dengan kedaulatan undang-undang dan hak asasi di negara ini.

“Amerika Syarikat prihatin dengan penggunaan Akta Hasutan oleh kerajaan Malaysia. Kami juga mengalu-alukan pengumuman Najib pada 2012 berhubung niatnya untuk memansuhkan Akta Hasutan dan berharap kerajaan dapat meneruskan komitmen tersebut.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menggunakan undang-undang secara adil, telus, dan neutral untuk menggalakkan keyakinan dalam demokrasi, badan kehakiman, dan ekonomi di Malaysia.

"Pegawai kami sudah menyatakan keprihatinan mengenai kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia dengan kerajaan Malaysia, dan akan terus berbuat demikian,’’ menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Kedutaan Amerika Syarikat dan diplomat lain turut memerhati secara dekat perarakan bantahan Akta Hasutan yang dianjurkan Majlis Peguam di Parlimen sehari sebelumnya. – 5 Disember, 2014.


themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.