Followers

Friday, December 5, 2014

Akta Hasutan cemar nama Malaysia di PBB, Asean, kata Suhakam

 

Pemangku Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee (kiri) berkata Akta Hasutan akan menjejaskan imej Malaysia di kalangan negara Asean dan ahli PBB. 

Pemangku Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee (kiri) berkata Akta Hasutan akan menjejaskan imej Malaysia di kalangan negara Asean dan ahli PBB. 

Keputusan Putrajaya untuk meneruskan Akta Hasutan 1948 tidak memberikan gambaran baik kepada Malaysia di saat negara bakal menyandang dua jawatan penting di peringkat antarabangsa, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pemangku pengerusinya, Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata, Malaysia selaku anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pengerusi Asean pada tahun depan menjadi harapan untuk meningkatkan prestasi dan standard yang tinggi dalam ruang lingkup hak asasi manusia.

“Suhakam kesal dengan pengumuman kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan dan untuk mengukuhkannya dengan peruntukan tambahan, walaupun janji yang dibuat pada tahun 2012 untuk memansuhkan undang-undang yang menindas dan lapuk.

“Walaupun suruhanjaya memahami keseimbangan antara kebebasan dan keselamatan, dan mengakui bahawa amalan kebebasan bersuara mungkin tertakluk kepada sekatan yang ketat seperti ditetapkan oleh undang-undang, sekatan mesti seimbang, berkadar, jelas dan adil.

“Seterusnya, sekatan itu hendaklah mematuhi norma antarabangsa mengenai hak untuk kebebasan bersuara dan berucap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaw berkata, Suhakam mengulangi pendirian Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan mestilah segera menggantikan Akta Hasutan.

Katanya, Akta Keharmonian Nasional boleh mengatasi cabaran kebebasan bersuara secara mutlak, dan ancaman terhadap nilai demokrasi, serta pada masa yang sama memastikan rakyat Malaysia menikmati hak asas dan jaminan Perlembagaan kepada kebebasan bersuara.

“Suruhanjaya berpendapat juga bahawa Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan ini bertujuan untuk mencari keseimbangan yang saksama antara hak kebebasan berucap dan bersuara dengan hak rakyat untuk hidup aman, harmoni dan stabil.

“Suhakam menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa pindaan kepada undang-undang sedia ada atau undang-undang yang baru mestilah berdasarkan penglibatan sepenuhnya dan perundingan bermakna dengan semua pihak yang berkenaan secara adil, jelas dan mematuhi proses yang sewajarnya, dan tidak tergesa-gesa,” katanya.

Beliau berkata, semua undang-undang atau pindaan kepada undang-undang sedia ada mestilah tertumpu kepada semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, dan prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa.

“Ini hendaklah juga mengambil kira realiti globalisasi yang bercirikan dimensi baru terhadap kebebasan bersuara melalui Internet dan media sosial,” katanya. – 5 Disember, 2014.


The Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.