Followers

Saturday, December 6, 2014

Ahli PERKASA Pulau Pinang Letak Jawatan Beramai-ramai..


Lebih 30 pemegang jawatan Perkasa Pulau Pinang meletak jawatan sebagai membantah kepimpinan pengerusi negeri kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu itu.

Pada masa sama, Perkasa bahagian Permatang Pauh juga mahu pengerusinya Fadzil Shuib melepaskan jawatannya, kata ketua penerangannya Norhalim Abdul.

Peletakan jawatan kepimpinan Perkasa peringkat negeri dan bahagian itu ekoran penyingkiran Latifah Mohd Noor dari jawatan ketua Perkasa Wiranita awal minggu ini.

"Kami ingin menyatakan pendirian kami yang kami hilang keyakinan terhadap pengerusi. Beliau memecat Latifah sebagai Ketua Wanita kami tanpa memberi penjelasan munasabah.

"Dia tidak pernah diberitahu tentang itu sebelum penyingkirannya. Dia hanya mengetahuinya pada 1 Disember apabila dia nampak namanya tiada dalam senarai pemegang jawatan peringkat negeri.

"Apabila Perkasa negeri mengadakan mesyuarat dengan bahagian-bahagian pada hari berikutnya, namanya sudah digantikan dengan nama orang lain," katanya kepada pemberita malam tadi di Guar Perahu, Permatang Pauh.

Norhalim berkata mereka akan menghantar surat mengenai perkara itu kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali pada Isnin, bersama surat peletakan jawatan mereka.

"Tolong jangan salah faham. Kami masih ahli Perkasa.

"Kami hanya meletakkan jawatan kami kerana tidak puas hati kami dengan Fadzil... kami tidak setuju dengan tindakannya," katanya.

Beliau juga berkata, Fadzil perlu menjelaskan kepimpinannya yang lemah dan bukannya menuduh Latifah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua sayap wanita.

Norhalim berkata, menurut Ibrahim, Perkasa Pulau Pinang merupakan peringkat negeri yang paling teruk prestasinya.

Norhalim berkata Latifah, ahli Perkasa sejak 2008, berusaha mengaktifkan bahagian itu dan di bawah kepimpinannya, mesyuarat agung baru-baru ini dihadiri lebih 300 ahli - kehadiran paling tinggi antara semua bahagian Perkasa di negeri itu.

Latifah berkata beliau tidak gilakan jawatan dan dengan senang hati akan berundur sekiranya diminta dengan cara yang terhormat.

"Beritahu sahaja saya secara peribadi. Saya tak tamak. Saya rasa kecil hati apabila dituduh tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Pengerusi berkata saya memecat mereka yang memegang jawatan apabila saya mengambil alih bahagian ini, tetapi saya hanya melantik empat ahli jawatankuasa... sayap yang melantik orang-orangnya sendiri," katanya.

Ketika dihubungi, Fadzil mengesahkan beliau menurunkan Latifah kerana dia tidak menjalankan tugas dengan baik sebagai ketua wanita Perkasa.

Katanya, oleh kerana tidak mahu terus membebankan Latifah, beliau memutuskan memberi jawatan itu kepada orang lain manakala Latifah dilantik ketua bahagian Permatang Pauh.

"Sebagai ketua Wiranita, dia terpaksa berdepan sayap parti dari 13 kawasan Parlimen. Banyak kerjanya.

"Dia tidak tetap dalam mengadakan mesyuarat dan menganjurkan program, atau dalam berhubung dengan sayap wanita. Jadi, saya tidak mahu dia terlebih beban.

"Saya kena ingat juga yang Permatang Pauh mungkin akan hadapi pilihan raya kecil dalam masa terdekat, dan akan ada banyak kerja yang perlu dilakukan di bahagian ini," katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.

Anwar akan hilang kedudukannya di Parlimen sekiranya dia dipenjara lebih setahun.

Fadzil juga berkata, perlembagaan Perkasa memberikannya kuasa sebagai pengerusi untuk melantik atau menurunkan pemegang jawatan ~ The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.