> Surat Terbuka Kepada Rakyat Malaysia
> Bagi Menyokong Debat dan Dialog Terbuka berkenaan Perundangan Islam
KAMI rakyat
Malaysia yang prihatin, berasa bimbang dan amat kecewa dengan
perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam
di negara ini.Perbalahan yang berlangsung sekarang ini tidak memberikan
gambaran dan pemahaman yang jelas mengenai kedudukan undang-undang
Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen.
Ia juga mencerminkan keruntuhan pembahagian kuasa di antara Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam bidang perundangan sivil mahupun
perundangan jenayah.
Kami merujuk secara khusus kepada situasi semasa di mana
institusi-institusi agama kelihatan bertindak di luar bidang kuasa
mereka, misalnya dengan mengeluarkan pelbagai fatwa yang bercanggah
dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta tidak menepati proses
demokratik dan proses konsultatif ‘syura’.
Di samping itu, semakin banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhaluan
kanan dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak-pihak yang berani
bersuara sebagai anti-Islam, anti-institusi Beraja dan anti-Melayu.
Tindakan mereka itu menyukarkan usaha untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian konflik secara rasional.
Apa yang membimbangkan kami juga ialah penggunaan Akta Hasutan sebagai
alat untuk menggertak dan mendiamkan sesiapa yang mempunyai pandangan
yang berbeza.
Perkembangan ini telah menjejaskan komitmen Malaysia terhadap
prinsip-prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, melahirkan sikap
tidak bertolak-ansur dan ketaksuban serta menggugat keamanan dan
kestabilan negara.
Kami sebagai Muslim yang moderat berasa amat bimbang dengan
kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap keputusan Mahkamah
Rayuan berhubung dengan hak golongan transgender berpakaian mengikut
identiti mereka.
Beliau dalam kenyataannya menyifatkan tindakan komuniti transgender yang
memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keesahan peruntukan
Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 sebagai satu
“gelombang tentangan bentuk baru terhadap Islam” dan merupakan satu
cubaan untuk “memesongkan akidah umat Islam” di Malaysia.
Beliau juga menyatakan bahawa permohonan Sisters in Islam baru-baru ini
berkenaan fatwa mengenai fahaman liberalism dan pluralisme merupakan
suatu “tindakan mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di Mahkamah
Sivil.”
Kenyataan seumpama ini yang mengapi-apikan keadaan daripada seorang
menteri (dan ini bukan kali pertama) menunjukkan kepada orang ramai
bahawa komitmen perdana menteri memperjuangkan gagasan kesederhanaan
(moderation) tidak perlu diambil berat memandangkan menteri Kabinet
sendiri sering memperlekehkannya.
Isu-isu yang kami bangkitkan ini sememangnya sukar untuk ditangani
memandangkan apa-apa berkaitan bangsa dan agama sering dipolitikkan di
negara ini. Kami yakin bahawa perdana menteri memiliki sumber dan kuasa
bagi mengetuai proses perundingan untuk membawa pakar dalam pelbagai
bidang, termasuk undang-undang Islam dan undang-undang perlembagaan
serta semua pihak yang terlibat.
Kami merasakan adalah amat penting bagi semua pihak berusaha mencari
penyelesaian kepada konflik yang berpanjangan ini yang telah menjejaskan
hubungan antara kaum, melunturkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan
dan perlindungan di bawah undang-undang selain menjejaskan kestabilan
negara.
Terdapat pelbagai isu penting yang memerlukan perhatian dan kepimpinan
perdana menteri serta sokongan semua ahli Kabinet dan rakyat Malaysia.
Antaranya:
i). Sistem perundangan plural yang telah sekian lama menimbulkan
pelbagai konflik dan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah.
Pada hemat kami, terdapat keperluan segera untuk menilai kembali
Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia. Undang-undang berkenaan yang
mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi” sebagai jenayah telah membawa
kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta
pelaksanaan. Undang-undang ini bercanggah dengan prinsip perundangan
Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan
peribadi rakyat.
Pada tahun 1999, Kabinet telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk
menilai semula Undang-undang Jenayah Syariah. Walaubagaimanapun,
sehingga kini undang-undang tersebut masih dikuatkuasakan dan telah
menyebabkan banyak berlakunya ketidakadilan, membawa kepada kemarahan
orang ramai, perbalahan tentang bidang kuasa dan hak menuntut semakan
kehakiman, dakwaan penyalahgunaan kuasa, diskriminasi gender serta
kematian dan kecederaan yang berpunca daripada serbuan terhadap
kesalahan akhlak (moral policing).Ini menghakis kredibiliti, proses
penggubalan undang-undang, serta keyakinan orang ramai terhadap keadilan
di bawah undang-undang Islam.
ii). Kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai, termasuk pemimpin
tertinggi, terhadap aspek perundangan dan had bidang kuasa institusi
agama dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Perlembagaan
Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang
yang digubal, termasuk undang-undang Islam, tidak boleh bercanggah
dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara berkaitan
kebebasan asasi manusia, pembahagian bidang kuasa di antara Kerajaan
Persekutuan dan Negeri serta prosedur legislatif.Semua Akta, Enakmen dan
undang-undang kecil, termasuk fatwa, adalah tertakluk kepada peruntukan
Perlembagaan Persekutuan dan terbuka untuk disemak oleh badan
kehakiman.
iii). Perlunya memastikan hak rakyat membahaskan bagaimana agama Islam
digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam di negara ini.
Perundangan Islam di Malaysia digubal oleh badan eksekutif dan dilulus
oleh badan perundangan. Sumber undang-undang Islam termasuklah yang suci
seperti Al-Qur’an dan sunnah, serta usaha manusia seperti fiqah dan
adat.Proses penggubalan undang-undang ini melibatkan kebijaksanaan dan
keputusan oleh manusia biasa. Maka ia terbuka untuk dibahaskan supaya
matlamat keadilan dapat ditegakkan.
iv). Perlunya mempertingkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian yang
wujud dalam pentafsiran teks dan ilmu feqah. Ini termasuk kaedah-kaedah
perundangan yang memungkinkan reformasi berlaku dan prinsip kesaksamaan
dan keadilan ditegakkan, seiring dengan perubahan kini, khususnya dalam
aspek tuntutan,peranan dan kedudukan wanita dalam keluarga dan
masyarakat.
v). Perlunya perdana menteri menekankan kepimpinannya disamping melantik
pemimpin-pemimpin yang berupaya menghidupkan budaya debat dan wacana
yang terbuka dan koheren berhubung dengan pentadbiran undang-undang
Islam di negara ini, ke arah memastikan keadilan. Kami secara khusus
menggesa agar pentadbiran perdana menteri menjelaskan bahawa perbahasan
secara rasional dan ilmiah tentang undang-undang Islam di Malaysia
bukanlah satu penghinaan terhadap Islam dan pihak berkuasa agama di
negara ini.
Isu-isu ini mungkin dianggap rumit tetapi apa yang ingin ditekankan
ialah, kami sebagai Muslim berpegang bahawa undang-undang Islam, lebih
daripada undang-undang sivil, perlu mencapai standard tertinggi dalam
hal keadilan kerana ia berdasarkan hukum Allah.
Lantaran itu, mana-mana pihak yang bertindak atas nama Islam menerusi
pentadbiran undang-undang Islam perlu memikul tanggungjawab untuk
memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan bahkan dilihat ia
ditegakkan.
Semasa Islam diwahyukan kepada Rasulullah SAW pada abad ke-7 di tanah
Arab, ia merupakan sesuatu yang amat revolusional dan progresif.
Zaman-berzaman, agama ini menjadi panduan kepada umat Islam meredah
cabaran dan rintangan yang pelbagai.
Sesungguhnya kami yakin dan percaya bahawa bagi memastikan Islam terus
kekal relevan dan universal pada zaman sekarang, maka pemahaman,
pengkanunan dan pelaksanaan ajaran Islam perlulah berkembang seiring
dengan peredaran masa. Hanya dengan cara inilah keadilan, seperti yang
dituntut oleh Allah SWT, dapat disempurnakan.
Yang Benar,
1. Tan Sri Datuk Abdul Rahim Bin Haji Din, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri.
2. Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri.
3. Tan Sri Dr Aris Othman, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan.
4. Tan Sri Dr Ismail Merican, bekas Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan.
5. Tan Sri Dato' Mohd Sheriff bin Mohd Kassim, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan.
6. Tan Sri Dato' Dr Mustaffa Babjee, bekas Ketua Pengarah, Perkhidmatan Veterinar.
7. Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.
8. Tan Sri Dr Yahya Awang, Pakar Bedah Kardiotorasik dan Pengasas, Institut Jantung Negara.
9. Datuk Seri Shaik Daud Md Ismail, bekas Hakim Mahkamah Rayuan.
10. Datuk Abdul Kadir bin Mohd Deen, bekas Duta.
11. Datuk Anwar Fazal, bekas Penasihat Kanan Serantau, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
12. Datuk Dali Mahmud Hashim, bekas Duta.
13. Datuk Emam Mohd Haniff Mohd Hussein, bekas Duta.
14. Datuk Faridah Khalid, wakil Suara Wanita.
15. Datuk Latifah Merican Cheong, bekas Penolong Gabenor, Bank Negara.
16. Lt. Jen (B) Datuk Maulob Maamin, bekas Leftenan Jeneral ATM.
17. Datuk Noor Farida Ariffin, bekas Duta.
18. Datuk Ranita Hussein, bekas Pesuruhjaya Suhakam.
19. Datuk Redzuan Kushairi, bekas Duta.
20. Datuk Dr Sharom Ahmat, bekas Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia.
21. Datuk Syed Arif Fadhillah, bekas Duta.
22. Datuk Zainal Abidin Ahmad, bekas Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.
23. Datuk Zainuddin Bahari, bekas Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
24. Datin Halimah Mohd Said, bekas Pensyarah, Universiti Malaya dan
Presiden, Association of Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE).
25. Puan Hendon Mohamad, bekas Presiden Badan Peguam Malaysia.