Followers

Monday, November 17, 2014

YB TG Hj Hadi Awang Memberi Alasan "KURANG SIHAT"

 
MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya memberitahu bahawa tahap kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus mempengaruhi penglibatannya dalam aktiviti politik. 
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, keadaan kesihatannya juga turut membataskan dirinya untuk menghadiri mesyuarat dalam PR. “Saya masih belum sihat lagi, masih dalam rawatan,” katanya ringkas ketika ditemui selepas selesai menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila di sini, kelmarin. 
 
 Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat dengan rakan-rakan PR termasuk Pas sejak berlaku krisis Menteri Besar Selangor yang telah membawa kepada penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ogos lalu. 
 
Malah, hubungan Pas dengan parti gabungan, DAP dan PKR turut dikatakan menjadi agak tegang rentetan isu berkenaan apabila beliau dikatakan menunjukkan sikap dingin terhadap aktiviti gabungan parti tersebut. 
 
Beliau bagaimanapun memberi gambaran bahawa perkara itu tidak seperti yang diperkatakan, sebaliknya mengulangi alasan bahawa faktor kesihatan dirinya menjadi sebab utama mengapa beliau dilihat bersikap sedemikian. 

 “Kita dah ada wakil, kita (Pas) ada ramai wakil dalam Pakatan Rakyat, bukan saya seorang. Tidak boleh letak atas saya seorang, masa tidak sihat sahaja (saya) tidak hadir,” katanya. 
 
Abdul Hadi sebelum ini dimasukkan ke hospital universiti di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul selepas mengadu mengalami sesak nafas pada Mei lalu. Sejak itu, kesihatan pemimpin nombor satu Pas itu dilaporkan tidak begitu baik, namun beliau dilihat masih tetap bersemangat untuk menyampaikan kuliah pagi yang mengambil masa hampir sejam di Masjid Rusila di sini, kelmarin. 
 
 Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai krisis dalaman dalam Pas berikutan kemampuannya ketika ini dilihat semakin merudum, termasuk menerima desakan rakan-rakan dalam Pas agar beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti, Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas mengenai krisis dalaman yang melanda Pas termasuk desakan tersebut, sebaliknya beliau memaklumkan, telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pas bagi membincangkan mengenainya. 
 
“Kita sudah membuat pertemuan dengan pimpinan Pas,” katanya.
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.