Followers

Tuesday, November 25, 2014

Subsidi: Jawapan Khairy dedah BN memangsakan rakyat ??


KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mengalu-alukan jawapan Khairy Jamaluddin berhubung penghapusan subsidi minyak kerana ia mendedahkan bagaimana Barisan Nasional terus memangsakan rakyat.

Beliau dimaklumkan akan reaksi Ketua Pemuda Umno itu terhadap tindakan menghapuskan subsidi oleh Barisan Nasional dengan menempelak kritikan di media sosial.

"Beliau menjawab dengan menunjukkan bagaimana harga akan ditentukan di bawah sistem apungan harga terkawal (managed float system) di laman Twitter," ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, jawapan itu mendedahkan bagaimana Barisan Nasional terus memangsakan rakyat tetapi membela syarikat-syarikat besar.

katanya, kenetapan harga petrol dan diesel telah lama dibuat melalui sistem Penetapan Harga Automatik (Automatic Pricing Mechanism) yang mengikut formula berikut (iaitu yang ditunjukkan oleh Khairy Jamaluddin):

1. Kos petrol dan diesel ditetapkan melalui harga rujukan menggunakan harga yang dikumpul oleh Platts melalui satu indeks yang dipanggil Means of Platts Singapore (MOPS).


 Harga ini adalah harga purata petrol dan diesel yang diperdagangkan melalui Singapura (dan bukannya harga minyak mentah). 

Kos ini telah termasuk kos dan keuntungan syarikat minyak yang mengendalikan loji penapisan kerana MOPS menentukan harga petrol dan diesel yang telah siap diproses.
2. Ditambah: “alpha” atau bayaran pampanan kepada syarikat minyak sebanyak 5 sen (petrol) dan 4 sen (diesel) untuk melindungi mereka dari turun naik kos petrol dan diesel di pasaran

3. Ditambah: “kos operasi” yang dibayar untuk menampung kos pengangkutan, agihan dan pemasaran yang ditanggung oleh syarikat minyak

4. Ditambah: “keuntungan syarikat minyak” sebanyak 5 sen (petrol) dan 2.25 sen (diesel)

5. Ditambah: “keuntungan stesen minyak” sebanyak 12.19 (petrol) dan 7 sen (diesel)

Rafizi berkata, ini bermakna sementara rakyat terpaksa berdepan dengan risiko turun naik harga petrol dan diesel di pasaran dunia ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia, Barisan Nasional meneruskan kaedah menjamin keuntungan syarikat-syarikat minyak melalui formula yang di atas.

Tambahnya, segala kos syarikat minyak – dari kos memproses minyak mentah menjadi petrol dan diesel (dengan merujuk kepada harga rujukan MOPS) sehinggalah ke kos pengangkutan, edaran dan pemasaran – dijamin dan dibayar balik kepada syarikat minyak.

Lebih dari itu, ujarnya Barisan Nasional juga menjamin keuntungan kepada syarikat minyak dan pemilik stesen minyak.

Sebelum ini, katanya rakyat mendapat subsidi yang mengimbangkan jaminan keuntungan yang diberikan kepada syarikat-syarikat minyak.

Menurutnya, dengan penghapusan subsidi, rakyat terpaksa menanggung bukan sahaja kenaikan kos petrol dan diesel, malah keuntungan syarikat-syarikat minyak yang dijamin oleh Barisan Nasional.

Sebab itu beliau terus menegaskan bahawa subsidi itu adalah satu tanggungjawab sosial dan moral yang perlu Kerajaan Persekutuan tanggung kerana sistem yang sedia ada memunggahkan kekayaan kepada syarikat besar dan memangsakan rakyat.

"Saya berminat untuk mendapat jawapan lanjut dari Ketua Pemuda Umno sama ada tindakan beliau mempertahankan formula apungan harga yang menjamin keuntungan syarikat minyak ini bermakna beliau lebih mementingkan syarikat-syarikat besar berbanding kepayahan rakyat kebiasaan?" ujarnya lagi. - 



HARAKAHDAILY 24/11/2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.