Shahrizat gamatkan persidangan di India....
Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hanya
mengambil masa kurang daripada lapan minit sahaja untuk mencuit hati
anggota perwakilan satu persidangan di ibu negara India dengan kata-kata
spontan dan ucapannya yang berterus-terang.
Bekas Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah antara lebih 10
penceramah pada sambutan ulang tahun peringatan ke-125 “Nehru’s
Worldview and his Legacy: Democracy, Inclusion and Empowerment.”
(Pandangan Dunia Nehru dan Legasinya: Demokrasi, Penglibatan dan
Pemerkasaan)
Sebelum itu, anggta perwakilan kelihatan kepenatan ketika Shahrizat ke pentas untuk memulakan ucapan beliau.
"Selepas makan tengah hari yang hebat dan dengan tidak kurang daripada
10 penceramah... rasanya macam nak 'buat' anak. Nampak saja mudah,
tetapi percayalah, bukan senang nak melahirkannya.
Oleh itu, harap Tuan
dapat bersabar dengan saya," katanya kepada pengerusi sesi itu, yang
menyebabkan para anggota perwakilan ketawa.
Dengan kata-kata
pembuka bicara yang menarik itu, beliau meneruskan ucapannya: "Namun,
saya perlu mengingatkan anda semua bahawa nama saya ialah Shahrizat
iaitu versi Melayu bagi nama Parsi, Sha-ha-ra-zat.
Bagi anda yang tidak
tahu, Shah-ha-ra-zat boleh bercerita sehingga 1001 malam.
Jadi,
nampaknya anda tidak akan pulang awal."
Setelah anggota perwaklan
kembali cergas, Shahrizat memperkatakan mengenai Jawaharlal Nehru,
perdana menteri pertama India yang memberi sumbangan besar kepada dunia
termasuk memperkasakan wanita.
"Saya dapati Encik Nehru mahukan
wanita supaya memainkan peranan mereka sebagai warganegara yang saksama
dalam pembangunan negara. Tidak seperti di Barat, wanita di India
mendapat hak untuk mengundi pada masa yang sama dengan lelaki.
"Sama juga bagi wanita Malaysia yang bertuah kerana Perdana Menteri
pertama negara Tunku Abdul Rahman berkata 'Sebelum kita berjuang untuk
kemerdekaan negara, kita mesti berjuang untuk kebebasan wanita kita'."
Shahrizat berkata sesuai dengan semangat Nehru, wanita di Malaysia telah
dapat menceburi pelbagai sektor.
"Wanita juga adalah rakan
pintar bagi lelaki dalam membangunkan negara, seperti mana yang berlaku
di India.
Kami di Malaysia mengamalkan demokrasi inklusif yang
memperkasakan terutamanya golongan muda dan wanita,"kata Shahrizat
sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada anggota perwakilan
wanita.
Naib Presiden Kongres Kebangsaan India, Rahul Gandhi,
turut memuji ucapan Shahrizat. "Saya lihat anggota perwakilan wanita
memberi tepukan gemuruh. Saya berharap anda mendapat banyak sokongan
dalam segala-galanya (yang anda lakukan). Jika mereka tidak (berikan
sokongan), anda boleh datang ke sini," katanya dalam nada seloroh.
Pada akhir sesi itu, para anggota perwakilan bergilir-gilir memuji
Shahrizat. Seorang anggota perwakilan berkata: "Ucapan anda
menyegarkan... hilang rasa mengantuk kami."
Seorang lagi anggota
perwakilan pula berkata: "Saya akan menjemput anda menghadiri
perhimpunan pilihan raya saya yang akan datang."
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.