KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat minggu lalu dikejutkan dengan
pemakluman bahawa harga setiap tiket yang dibeli penumpang adalah termasuk
dengan kos hidangan yang disediakan dalam pesawat MAS termasuk arak.
Perkara itu dimaklumkan
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Kaprawi sebagai menjawab
soalan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) yang bertanyakan sama ada minuman
keras diberi secara percuma atau sebaliknya.
"Tuan Pengerusi,
memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, maka ia termasuk dengan
hidangan yang disediakan dalam kapal terbang," katanya.
Jawapan itu mengundang
satu lagi kekhuatiran daripada Khalid yang mendakwa ia bermakna setiap orang
yang membeli tiket MAS adalah bersubahat menyumbang kepada kos hidangan arak,
sekalipun tidak meminumnya.
"Jadi maknanya
tiket yang saya beli saya subsidikan air arak untuk orang. Ini yang tidak betul
ini.
"Saya rasa
kebanyakan daripada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa kalau ada
penumpang yang hendak minta arak ini pun kena bayar. Kalau tidak, akhirnya sama
ada kita sedar atau tidak, kita bersubahat," katanya.
Dalam pada itu Mohamed
Hanipa bin Maidin (PAS-Sepang) mendakwa isu hidangan arak ini adalah lebih
kepada kuasa menteri.
Menurutnya, jika
menteri boleh memberi arahan dan kata putus, ia boleh diselesaikan dengan mudah.
"Saya rasa dari
segi isu menghidang arak ini, dia lebih kepada kuasa Menteri. Menteri ada kuasa.
Kalau Menteri boleh bagi arahan, saya rasa tidak ada masalah.
"Saya mendengar
jawapan Menteri ini, kita makin takut. Kita ingat selama ini tiket itu tidak
ada kena-mengena dengan pembelian arak.
"Yang Berhormat
Menteri menyebabkan orang Islam yang mendengar jawapan itu menjadi takut hendak
naik MAS lagi dah. Maknanya kita ada saham pula. Selama ini kita tak jangka
benda macam ini berlaku," katanya.
Abdul Aziz bagaimanapun
berkata MAS sedang dalam proses penstrukturan semula dan akan membuat model
perniagaan baharu yang mungkin akan menukar sistem sedia ada yang dipertikai
itu.
Terdahulu, isu pakaian
menutup aurat oleh pramugari dan hidangan arak di dalam pesawat MAS
dibangkitkan oleh Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) ketika membahaskan Bajet 2015
peringkat Kementerian Pengangkutan.
Marzuk meluahkan
kekecewaan terhadap jawapan pihak kementerian yang mendakwa hidangan alkohol
dalam pesawat sebagai meraikan kepelbagaian pelanggan dan kehendak pelanggan
antarabangsa.
"Kalaulah ini
sebagai hujahnya, maka apa akan jadi kepada orang yang duduk di sebelah
penumpang yang minum minuman keras yang akhirnya mabuk dan mengganggu penumpang
sebelah yang tidak minum minuman keras.
"Kita bukan hendak
menafikan privasi penumpang-penumpang non Muslim yang menaiki pesawat-pesawat
antarabangsa ini. Akan tetapi kalaulah privasi mereka diutamakan, bagaimana
pula dengan privasi kita?" soal beliau.
Pandangan oleh ahli-ahli
parlimen PAS itu turut disokong aleh ahli-ahli parlimen Umno termasuk Datuk
Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis), Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub (BN-Machang) dan
Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah).
Kesemua mereka
bersetuju agar hidangan arak dihentikan dan pakaian pramugari ditetapkan supaya
menutup aurat.
Timbalan Menteri, Datuk
Ab. Aziz Kaprawi dalam penggulungannya berkata beliau akan mengambil maklum
akan perkara-perkara yang dibangkitkan termasuk tiket yang siap dengan makanan
yang sudah lama diamalkan.
"Maka sebab itu
saya yakin dengan penstrukturan MAS nanti, ia akan membuat pendekatan new
business model yang lebih rapi dan lebih Islamik," katanya. http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.