Adalah sesuatu melucukan apabila istilah ‘ditawan’ yang digunakan oleh
Mingguan Malaysia berhubung kebanjiran warga asing khususnya warga
Bangladesh di Cameron Highlands menjadi perdebatan kelompok yang cuba
muncul sebagai ‘pembela’ kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Ramai yang memberi reaksi termasuklah menuduh Utusan Malaysia sendiri
tidak boleh dikritik apabila akhbar ini bertindak menegur sikap Adnan,
tetapi lebih aneh bukan isu yang diketengahkan menjadi perdebatan tetapi
soal istilah.
Bagaimanapun biarlah mereka terus keliru dengan istilah tersebut, kita
tidak harus membuang masa untuk memberi penjelasan, apa yang lebih
penting ialah persoalan pokok mengenai nasib Cameron Highlands.
Masalah yang berlaku bukan soal istilah tetapi soal pokok iaitu
kebanjiran warga asing yang melimpah ruah di tanah tinggi itu atas
alasan ia diperlukan oleh sektor pertanian? Kenapakah tidak bercakap
soal kemusnahan alam sekitar yang melanda Cameron Highlands?
Kalau betul sayang sangat kepada pentadbiran kerajaan negeri dan
sentiasa yakin kewibawaan Menteri Besar Pahang maka kemukakan cadangan
bagaimana hendak menangani masalah yang berlaku dan bukannya seolah-olah
kembali ‘menyerang’ media.
Kelompok ini perlu faham Cameron Highlands bukanlah satu-satunya
kawasan yang menjadi mangsa kerakusan manusia meneroka tanah secara
haram, ada beberapa lagi kawasan di negeri itu turut terlibat. Perkara
ini seharusnya mendapat perhatian dan diselesaikan segera.
Malang sekali bagi negeri Pahang kerana mempunyai segelintir pemimpin
yang masih lagi mengamalkan sindrom penafian dan lebih suka bercakap
soal remeh temeh sedangkan isu utama mahu dipejamkan mata sahaja.
Oleh itu adalah lebih baik mereka mereka memberi tumpuan kepada 22 isu
dan syor yang dikemukakan serta dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu Cameron Highlands daripada
menghabiskan masa mempertahankan perkara lain. Jadilah ‘pembela’ yang
memastikan kerajaan negeri memandangkan serius dan melaksanakan semua
syor SPRM itu.
Seperkara lagi, dalam keghairahan menjadi ‘pembela tidak bertempat’, ada
yang mengaitkan Utusan Malaysia membawa suara pembangkang apabila
mengkritik Adnan, tetapi apakah seorang pemimpin UMNO berhak menghina
Utusan Malaysia dengan menuduh akhbar ini mencari berita sensasi bagi
melariskan jualan akhbar?
Apakah kenyataan itu tidak boleh dikategorikan sebagai emosional? Apakah
emosional itu hanya dibenarkan apabila seseorang pemimpin tersebut
menunjukkan isyarat lucah di hadapan orang ramai seperti mana berlaku
dalam pilihan raya kecil Sanggang tidak lama dahulu?
Utusan Malaysia
tidak kisah dikritik kerana sepanjang masa menjadi mangsa kritikan
bukan sahaja oleh pemimpin pembangkang tetapi juga pemimpin kerajaan
tetapi biarlah ia berasaskan kepada fakta yang dibentangkan.
Sepatutnya yang perlu ditumpu dan diberi perhatian ialah mengenai
sesuatu kejadian yang didedahkan bukannya soal istilah yang digunakan
apatah lagi kalau ia dalam kategori metafora.
Justeru kalaupun hendak
menjadi ‘pembela’ sekali pun fahamilah dahulu isu yang diketengahkan
dan betapa serius masalah yang dipaparkan.
Kenapakah pendedahan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia sebelum ini
seperti penyelewengan diesel bersubsidi, jenayah di Kuala Sepetang,
kegiatan mesin judi haram dan penyeludupan rokok dan arak tidak dilayan
secara emosional oleh menteri, menteri besar, ketua menteri atau
pegawai kanan yang terlibat?
Kenapakah apabila menyentuh sahaja isu di
Pahang ia dianggap usaha untuk memburuk-burukkan Adnan?
Pendedahan yang dibuat bertujuan mencari penyelesaian bukannya mahu
menjatuhkan sesiapa, tetapi biasalah penyokong orang politik tidak akan
selesa jika idola mereka dikritik kerana bimbang ‘dahan yang dipaut’
akan patah, biarpun dahan itu sepatutnya sudah lama ditebang. ~utusan
Addin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.