Followers

Monday, November 17, 2014

Cameron Highlands Lubuk rasuah? Penguat Kuasa Terima Sehingga RM50,000 sebulan?


KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pemberian rasuah antara RM5,000 hingga RM50,000 kepada segelintir pegawai dan anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands.

Satu sumber mendakwa, kawasan tanah tinggi itu yang boleh dikategorikan sebagai ‘lubuk rasuah’ bagi sesetengah anggota dan pegawai penguat kuasa itu diberikan secara bulanan serta berbeza mengikut jawatan.

“Anggota berpangkat rendah dipercayai menerima kira-kira RM5,000 hingga RM10,000, manakala pegawai atasan pula menerima antara RM30,000 hingga RM50,000.

“Sogokan yang diterima penguat kuasa di daerah ini bukan sahaja setakat menyembunyikan premis judi tetapi membiarkan warga asing mengusahakan ladang haram, menjalankan penerokaan tanah haram serta memandu lori tanpa lesen dan cukai jalan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sumber itu turut mendakwa, selain menyembunyikan kegiatan haram, penguat kuasa terlibat turut memperoleh keuntungan hasil tanaman di kawasan tanah yang diteroka secara haram oleh warga asing.

“Anggota agensi penguat kuasa tersebut akan mencari tapak kebun haram dan disewakan serta diusahakan warga asing. Jika purata keuntungan bulanan yang diperoleh RM50,000, anggota itu akan menerima RM25,000 sebagai upah serta dibenarkan mengambil hasil tanaman sesuka hati.

“Malah, anggota penguat kuasa terbabit juga melindungi warga asing yang tidak mempunyai sebarang permit dengan syarat mereka perlu membayar wang perlindun–gan RM100 hingga RM200 setiap bulan,” katanya.

Sumber mendakwa, berikutan sikap tidak amanah segelintir anggota agensi penguat kuasa tersebut ia mengakibatkan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cameron Higlands sering gagal kerana maklumat tindakan itu sudah dibocorkan lebih awal.

Tindakan itu kata sumber tersebut menyebabkan majoriti penduduk tanah tinggi berkenaan tidak yakin operasi oleh pihak berkuasa bagi menangkap PATI akan berjaya biarpun ia melibatkan pelbagai agensi.

“Apa yang penting sebelum operasi dijalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap anggota dan pegawai penguat kuasa terlibat kerana selagi mereka wujud selagi itulah apa juga tindakan bagi memulihkan keadaan di Cameron Highlands tidak akan berhasil,’’ katanya. Sumber : Utusan Malaysia


POST BY : BLOG TAUHU SUMBAT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.