Pemilihan pucuk kepimpinan PAS
tahun depan bakal menjadi pertembungan terakhir antara kumpulan yang
berbeza pandangan dalam PAS sekarang dengan satu hala tuju, siapa yang
kalah akan meninggalkan parti itu.
"Kalau kami kalah, kami perlu fikir sama ada boleh kekal dalam PAS lagi atau tidak. Besar kemungkinan kami perlu menubuhkan parti baru.
"Kami juga difahamkan, pihak
belah sana juga berpendirian begitu. Kalau kalah, mereka juga melihat
menubuhkan satu parti baru adalah satu opsyen bagi mereka," kata seorang
pemimpin kanan PAS yang berada dalam kumpulan profesional atau lebih
dikenali Erdogan, mengambil nama presiden Turki sekarang, Raccip Tayyib
Erdogan.
Sehubungan itu, beliau meminta
semua ahli dan perwakilan PAS memastikan mereka membuat pilihan yang
betul dalam pemilihan PAS pada Muktamar ke-61 yang dijangka diadakan
pertengahan tahun depan.
Beliau yang enggan namanya disebutkan berkata demikian kepada The Malaysian Insider ketika mengulas hala tuju PAS ekoran perbezaan pendapat yang ketara dalam parti itu sekarang, bermula sejak kekalutan pemilihan menteri besar Selangor.
Sebelum fenomena yang dihadapi Malaysia ini, Turki sebagai sebuah negara umat Islam yang besar juga menghadapi fenomena sama.
Sehingga pada awal 1980-an, semua aktivis politik Islam di Turki berada dalam satu parti iaitu Refah pimpinan Necmetin Erbakan.
Namun mereka berpecah kerana
berbeza jalur pemikiran dengan kumpulan progresif dalam parti itu
membentuk AKP dan konservatif membentuk Parti Saadet.
AKP pimpinan Erdogan menang
pilihan raya Turki selepas menyertainya buat pertama kali pada 2002 dan
memerintah Turki sehingga sekarang sedangkan Saadet kekal sebagai parti
pembangkang dengan menerima sokongan tidak sampai 2% daripada rakyat
Turki.
Ahli Parlimen PAS itu berkata,
keputusan perlu dibuat dengan jelas oleh perwakilan PAS sama ada mereka
mahu bersama dengan pendekatan progresif yang dibawa kumpulan
profesional atau konservatif yang dibawa kumpulan pro ulama.
"Kempen nampaknya sudah bermula. Semuanya dilakukan dengan jelas oleh NGO masing-masing," katanya.
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mewakili kumpulan ini manakala Geng Ustaz (GU) mewakili kumpulan pro ulama.
"Kita meminta perwakilan
mempunyai minda yang jelas, pemilihan tahun depan untuk menentukan hala
tuju PAS. Sama ada kita mahu maju bersama Pakatan Rakyat (PR) atau kita
mahu bersendirian dengan alasan mahu menjaga kemurnian Islam.
"Jika perwakilan mahu maju
bersama PR, mereka perlu memilih pemimpin yang pro PR. Jika mereka
memilih pemimpin yang pro kepada duduk bersendirian dan menjauhi PR,
kami terpaksa meninggalkan PAS kerana kami mahu maju ke depan," katanya.
Pihak yang paling tersepit dengan fenomena yang berlaku dalam PAS sekarang adalah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Aktivis PasMa mula menyerang
beliau secara terbuka dalam laman sosial di samping tekanan yang
diberikan rakan dalam PR sendiri khasnya DAP.
Terbaru, aktivis PasMa dari
utara semenanjung Zolkharnain Abidin, bekas ketua Pemuda PAS Perlis
menulis dalam Facebooknya:"PAS bukan sekadar memerlukan presiden baru,
tetapi presiden yang berupaya membawa pembaharuan".
Tulisan bekas Adun Santan yang banyak memenuhi program PasMa di bahagian utara Semenanjung ini mendapat komen pro dan kontra daripada pembaca.
Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang keras cadangan itu.
Pihak yang pro ulama pula aktif
menyerang kumpulan profesional ini, juga melalui Facebook di samping
menggunakan aktiviti dalaman parti itu sebagai tapak serangan mereka.
El Haraki menamakan pemimpin
PasMa dan pemimpin PAS yang pro kumpulan ini sebagai 'Jebon' iaitu
sejenis binatang yang suka membuat kerosakan.
Kumpulan ini juga menguatkan
kedudukannya di Kelantan termasuk melantik seorang pemimpin baru di
Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan mulai Januari nanti. ~malaysian insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.