Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengambil langkah berani dan drastik dengan menurunkan perbelanjaan mengurus sehingga 53 peratus pada Bajet 2015 Selangor yang memperuntukan kira-kira RM2.422 bilion.
Pada masa sama, beliau meningkatkan perbelanjaan pembangunan kepada RM1.133 bilion atau 46.81 peratus berbanding belanja mengurus RM1.288 bilion atau 53.19 peratus. Katanya, beliau yakin dan memberi jaminan dengan kaedah itu tidak akan ada perbelanjaan tambahan bagi tahun 2015.
“Bagaimanapun, mengikut trend, hasil kerajaan negeri tahun ini kita anggarkan kira-kira RM1.97 bilion dan dijangka meningkat dengan adanya pembangunan yang akan dilaksanakan.
“Secara mengambil pendirian yang berbeza ini untuk mengemukakan secara jujur kepada Dewan dan rakyat adalah jumlah perbelanjaan yang akan mengambil tempat pada tahun 2015 dari awal.
“Dengan cara ini, tidak akan ada perbelanjaan tambahan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2015 Selangor pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor Ketiga Belas di sini hari ini.
Dalam pembentangan bajet itu, Mohamed Azmin menyatakan kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan kukuh dan menyakinkan dengan mencadangkan anggaran perbelanjaan tahun depan berjumlah RM2,422 bilion. Peruntukan itu adalah untuk pelaksanaan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat.
Menurut Mohamed Azmin, di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM385 juta disediakan bagi emolumen, RM443.5 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, manakala RM17.6 juga bagi pembelian aset dan RM426.5 juta untuk pemberian serta kenaan bayaran tetap dan RM16 juta lagi perbelanjaan lain.
Bagi peruntukan pembangunan pula, katanya, sejumlah RM277.3 juta diperuntukan bagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan RM106.6 juta disediakan untuk perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, sektor perbandaran dan pembangunan usahawan.
“Seterusnya RM100.2 juta diperuntukan bagi pembangunan sosial termasuk pendidikan, perumahan, pembangunan belia dan sukan serta pembangunan insan. Saya juga memperuntukan RM48.9 juta untuk pembangunan khas negeri dan RM44.4 juta untuk pengambil balik tanah.
“Bagi pentadbiran am pula sejulmah RM33.8 juta diperuntukan, manakala bagi pembangunan adat Melayu dan warisan serta pelancongan sebanyak RM9.25 juta disediakan,” katanya.
Ditanya kebimbangannya ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar sebelum ini dengan membentangkan belanjawan defisit setiap tahun, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak melahirkan kebimbangan sebaliknya yang ditegur dalam perbahasan ialah kaedah pembentangan belanjawan itu.
“Kalau kita melihat rekod, anggaran belanjawan sejak 2008 sehingga 2014 semuanya defisit, tetapi kaedah yang dilakukan ialah ketika pembentangan, ianya dibentangkan dengan kaedah bajet berimbang.
“Tetapi setelah tiga hingga empat bulan kemudian akan dibawa semula ke dewan dan mengemukakan tambahan bajet. Ini menyebabkan perbelanjaan itu bertambah setiap tiga dan enam bulan,” katanya.
Beliau bagaimanapun, mempertahankan keputusannya walaupun baru dua bulan memegang jawatan Menteri Besar, telah mengambil langkah tidak popular iaitu menurunkan belanja mengurus dan meningkatkan perbelanjaan pembangunan.
“Dengan meningkatkan belanja pembangunan, saya yakin ianya dapat membantu kesan gandaan dari segi aktiviti pembangunan di Selangor dan ini dapat meningkatkan hasil. Sebab itu saya yakin hasil yang akan dikutip itu jauh lebih besar dari apa yang kita anggarkan,” katanya.
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.