KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria
menyeru kepada seluruh pendukung gerakan Islam negeri itu untuk
meningkatkan momentum perjuangan dan memperkukuhkan istiqamah di dalam
jiwa.
"Kita perlu kembalikan semangat juang anak Perak, selari dengan
kefahaman dan disiplin sebagai ahli gerakan," ujarnya dalam satu
kenyataan.
Katanya, Gerakan Islam PAS bermula dengan penubuhan Hizbul Muslimin
pada Mac 1948 melalui perhimpunan ribuan ulama tanah air di Gunung
Semanggol Perak yang mana sejarahnya terpahat kuat di lembaran sejarah
gerakan Islam.
Tambahnya, Perak juga merupakan negeri pertama yang melahirkan
kemenangan satu kerusi parlimen buat PAS, melalui kaedah demokrasi
pilihan raya.
Kemunculan Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir yang
merupakan tokoh pejuang Perak, turut menyumbang saham banyak dalam
percaturan kemenangan gerakan Islam PAS, ujarnya.
"Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 kali ini Perak sebagai tuan rumah
bagi mengangkat semula PAS Perak serta menggilap kembali saduran emas
sejarah PAS. Gunung Semanggol menjadi saksi bahawa PAS itu bermula di
sini," katanya lagi.
Kini, kata beliau PAS sudah bertapak di Kelantan, Terengganu, Kedah,
Selangor dan Johor yang sudah mempunyai 4 kerusi Dun sementara Perak
perlu ke hadapan dalam melakar kemenangan ini.
"Dengan lukisan potret sejarah yang halus, Perak perlu menyelak kembali tirai yang menutupnya," ujarnya.
Justeru, beliau menyeru agar gerak dan hebahkan supaya pimpinan,
ahli, pendukung serta penyokong di semua peringkat dapat turun
memeriahkan Sambutan Ulang Tahun PAS Pusat ke-63 peringkat negeri pada
29 November dan peringkat kebangsaan pada 30 November di Padang Kompleks
PAS Bukit Chandan, Kuala Kangsar. -
HARAKAHDAILY 25/11/2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.