Datuk Mat Zain Ibrahim mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memfailkan semakan kehakiman ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kerana menyembunyikan pengeluaran "Perintah Menyiasat" (OTI) pada Januari lepas.
Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur itu berkata, tindakan Gani itu sebagai menyalahi undang-undang atau menyalahgunakan proses mahkamah.
"Anwar sepatutnya mengambil perhatian serius saranan Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria yang berkata Anwar wajar memfailkan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara yang melantik Shafee Abdullah sebagai Timbalan Pendakwa Raya," kata Mat Zain dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.
“Tindakan Peguam Negara yang menyembunyikan pengeluaran OTI pada 3 Januari 2014 daripada pengetahuan Mahkamah Rayuan/Persekutuan adalah satu perbuatan 'to mislead atau untuk mengelirukan Mahkamah’.”
Mat Zain berkata pendedahan OTI itu penting dalam perbicaraan kes Liwat II yang dihadapi Anwar, dan jikalau hukuman dijatuhkan ke atasnya, ia boleh ditangguhkan.
"Sekiranya dalam perbicaraan kelmarin, pihak Peguam Negara memaklumkan Mahkamah Rayuan berkaitan OTI ini, saya percaya kemungkinannya besar Tun Arifin tidak tergesa-gesa membuat penghakiman.
"Sebaliknya Ketua Hakim itu akan menangguhkan perbicaraan untuk siasatan terhadap pembikinan afidavit yang disyaki mengandungi kenyataan tidak benar/palsu oleh Shafee itu diselesaikan dahulu," katanya.
OTI yang dikeluarkan Peguam Negara itu mengesyaki Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan afidavit tidak sempurna/palsu dan digunakan dalam prosiding tersebut.
Perintah itu dikeluarkan sendiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof.
"Adalah juga amat janggal apabila afidavit dan hujah bertulis oleh Shafee yang diikrarkan/disediakan antara 15 dan 18 Disember 2013 dan difailkan di Mahkamah, dengan kebenaran dan melalui Jabatan Peguam Negara.
"Lebih kurang 2 minggu kemudian, Jabatan Peguam Negara sendiri yang mengeluarkan OTI pada 3 Januari 2014, kerana mengesyaki yang afidavit yang mereka failkan itu mengandungi kenyataan palsu," katanya.
Semalam, PKR juga membuat satu laporan polis menggesa satu siasatan dilakukan ke atas Peguam Negara kerana dipercayai menyembunyikan dokumen OTI tersebut.
Anwar pertama kali mencabar kesahihan pelantikan Shafee mengikut Kanun Tatacara Jenayah tetapi ditolak Mahkamah Persekutuan pada 20 November tahun lepas.
Permohonan kedua beliau mencabar Shafee, berdasarkan akuan bersumpah Mat Zain, juga ditolak Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan menghukum Anwar lima tahun penjara tetapi memberikannya penangguhan sementara menanti keputusan rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.
Anwar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas bagi hukuman penjara yang lebih berat.-TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.