Seperti yang saya katakan dahulu, politik sangat dinamik sifatnya, ia
pantas berubah. Kerana itu, tidak mungkin persepsi masyarakat terhadap
perkembangan politik akan terus kekal, tidak berubah.
Dalam hal ini, adakah pemimpin dan pendukung parti politik, khususnya
Pakatan Rakyat, sedar dan mengakui hal ini, atau sekadar mengakuinya
tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi perubahan ini? Sama-sama
kita saksikan.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, persepsi pengundi
begitu ketara berubah, menyebabkan Barisan Nasional tidak mendapat
majoriti di Parlimen, bahkan undi popularnya merosot kepada 48%,
sementara Pakatan Rakyat mendapat undi popular 52%, sesuatu yang
mengejutkan pelbagai pihak.
Ertinya majoriti pengundi menyokong Pakatan
Rakyat.
Ini berlaku dalam PRU12 dan PRU13, ketika Pakatan kuku berpadu, tidak
ada krisis serius dalam parti komponen baik PAS, PKR mahupun DAP.
Maka, majoriti rakyat memberi sokongan kepada Pakatan, bahkan menaruh
harapan Pakatan mampu menggantikan Barisan Nasional memerintah negara di
masa depan.
Tetapi dinamik politik merubah segalanya. Lebih-lebih lagi apabila
tercetus krisis politik di Selangor selama tujuh bulan di mana gejalanya
merebak hampir ke seluruh negara.
Maka imej Pakatan Rakyat rosak dan
persepsi rakyat terhadapnya menjadi buruk hingga kini. Segalanya
berubah.
Saya tertarik dengan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut
Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan apabila
beliau menyatakan dalam Malaysian Insider bahawa senario politik
sekarang berbeza dengan 16 tahun dahulu.
Beliau merujuk kepada kes Datuk
Seri Anwar Ibrahim mengenai rayuan terakhir kes liwatnya minggu depan:
Pemerhati politik mengingatkan, sebarang harapan bagi demonstrasi
jalanan seperti ‘Reformasi 1998’ adalah tidak produktif.
Mereka memetik
lanskap politik yang berbeza, sokongan tidak jelas berikutan perpecahan
dalam Pakatan Rakyat (PR) dan keperluan orang ramai untuk maju ke depan
daripada hanya berhimpun di keliling Anwar sebagai simbol menentang
ketidakadilan. – 20 Oktober, 2014.
Wan Saiful berkata, PKR sepatutnya sedar ia tidak lagi berada dalam
kedudukan yang kuat seperti dahulu apabila menerima sokongan rakyat
Malaysia dari rakan-rakan mereka dari PAS dan DAP.
Kini, katanya, PKR
sedang bergelut dengan sokongan dalaman parti, kerana hubungannya dengan
PAS tidak sebaik dahulu.
Sementara itu, pengundi lama merasa kecewa dengan krisis dan ‘masam
muka’ berterusan antara komponen dalam Pakatan Rakyat, generasi baru
bosan lagi dengan situasi politik masa kini.
Mereka benci dengan politik perkauman dan ektremis agama yang
diketengahkan sesetengah pemimpin politik perkauman dan penyokong
mereka, serta NGO yang juga menyokongnya.
Golongan muda ini benci dengan keadaan politik seperti itu. Tetapi
malangnya, apabila melihat apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, maka
mereka juga amat kecewa.
Hingga kini belum ada sebarang tanda di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat
untuk mengambil langkah segera memperkukuh Pakatan, membaik pulih imej
dan persepsinya yang tercemar.
Mungkin ada juga di kalangan sesetengah pemimpin Pakatan yang sedar
trend pengundian generasi muda yang akan banyak berubah dalam PRU14 akan
datang.
Tetapi ramai yang tidak sedar, malah beranggapan trend undian akan sama sahaja tiap kali pilihan raya.
Sebenarnya persepsi generasi muda perlu disedari oleh Pakatan Rakyat,
khususnya PAS sendiri yang biasanya banyak bertanding di kawasan
pengundi Melayu di bandar dan di luar bandar. Jangan merasa selesa dan
tidak mempedulikan perubahan ini.
Trend pengundian generasi muda sudah disebut Ketua Pemuda PAS Suhaizan
Kaiat dalam ucapannya di Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi September
lalu.
Nada bimbangnya jelas terbayang jika Pakatan Rakyat tidak bersedia
dari sekarang untuk menghadapi gelombang cita-rasa anak muda itu.
Katanya, Pemuda PAS sangat sedar kecenderungan kuat di kalangan
sebahagian anak muda Malaysia yang menolak politik kerana meluat dengan
gelagat sebahagian ahli politik.
Kata beliau, mereka tidak mencerminkan
kualiti yang diharapkan, termasuklah di dalam Pakatan Rakyat.
Suhaizan juga sedar bahawa generasi muda adalah majoriti rakyat
Malaysia. Beliau menyebut, menurut data yang dikemukakan oleh Welsh dan
Chang pada tahun 2012, jumlah penduduk di Malaysia berumur di bawah 30
tahun adalah sebanyak 63%.
“Sekiranya kita mahu mengambil usia 40 tahun ke bawah sebagai umur
maksima belia di negara kita, maka komposisi anak muda di Malaysia
semestinya lebih besar.
Walaupun golongan ini ‘tidak gembira’ dengan gelagat sesetengah ahli
politik, ini tidak bermakna mereka tidak terlibat dalam proses politik,”
katanya.
Kajian mendapati anak muda semakin terbabit dengan proses politik negara
walaupun tidak begitu berminat menyertai parti politik.
Kemunculan
kumpulan anak muda independen, tanpa hierarki dan ketua, terutamanya
dalam siri demonstrasi rakyat, sangat wajar diberikan perhatian malah
didampingi untuk memahami suara dan hasrat mereka.
Dengan trend politik yang ada sekarang, generasi muda tidak berminat
menyertai sebarang parti politik atas pelbagai sebab yang diketahui.
Lebih-lebih lagi apabila sesetengahnya setelah lulus dari pengajian
tinggi sukar mendapat kerja – walaupun tidak memilih.
Gaji begitu rendah dan sukar untuk menampung kos hidup yang tinggi.
Generasi muda marah apabila menyaksikan jurang miskin kaya semakin
melebar.
Semua perubahan ini nampaknya belum banyak menyedarkan pemimpin Pakatan
Rakyat, malah masalah dalaman komponen dalam Pakatan itu sendiri belum
juga selesai.
Sepatutnya pemimpin Pakatan melupakan perselisihan sesama sendiri dan
segera berbincang bersama untuk mebaiki kembali imej dan persepsi rakyat
terhadapnya untuk mengelak Pakatan kecundang dalam PRU akan datang.
KedahLanie
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.