Followers

Tuesday, October 21, 2014

Najib antara yang mengalami penyakit ‘skizofrenia’ kata Kit Siang

 
Datuk Seri Najib Razak ‘berisiko’ menjadi bahan jenaka antarabangsa sebagai sebagai Perdana Menteri ‘talam dua muka’ apabila sibuk melaungkan seruan kesederhanaan di peringkat antarabangsa, namun tunduk kepada golongan ekstremis ketika di dalam negara.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib sekali lagi menunjukkan sifat ‘skizofrenia’ dengan pemahaman tentang prinsip kesederhanaan yang cukup berbeza di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Pada 27 September lalu, Najib memberikan ucapan yang amat baik dalam Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu, apabila menyeru golongan sederhana untuk mengambil kembali agama mereka (daripada puak ekstremis) dan mengambil jalan keamanan.

“Namun di ‘rumah’nya sendiri, Najib mengelak daripada membendung sikap ekstrim dan tidak bertolak-ansur, sehingga berlaku provokasi antara kaum dan agama pada tahap terburuk sepanjang lima tahun pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Jelas, Najib mengalami ‘skizofrenia’ (fikiran celaru, berubah-ubah dan tidak stabil) dalam memahami konsep kesederhanaan, apabila pemahamannya di luar negara begitu berbeza dengan di sini,” katanya, secara sinis merujuk laporan Bernama hari ini, bahawa seorang daripada 100 warga Malaysia mengidap penyakit itu.

Sehingga kini, kerajaan masih gagal mengambil sebarang tindakan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengancam untuk membakar kitab Bible bahasa Melayu tahun lalu.
Pada masa sama, puluhan ahli politik Pakatan, aktivis, ahli akademik dan wartawan disiasat di bawah Akta Hasutan, kononnya kerana mengancam keharmonian negara.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, beliau yakin Najib akan dapat memberi jawapan yang hebat jika diminta mengulas tindakan biadap Ibrahim itu di luar negara.

“Namun di tanahair sendiri, kerajaan di bawah pimpinannya terus beralasan hanya untuk membela tindakan tersebut, antaranya menyifatkannya selaras dengan Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Sebab itu jugalah, katanya lagi, seruan Najib dalam Perhimpunan Agung Gerakan semalam untuk ‘menolak ekstremisme kaum dan agama’ langsung tiada kredibiliti dan tidak lebih sekadar omong kosong semata-mata. 


Anak Sungai Derhaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.