Followers

Sunday, October 19, 2014

Mazlan Aliman Dedah Punca Tamrin Keluar PAS

 

Orang yang menjadi pencadang dalam borang kemasukan Tamrin Ghafar ke dalam PAS, Mazlan Aliman yakin tindakan PAS menggantung keahlian 2 Adunnya di Selangor menjadi sebab langsung bekas pengerusi Mara itu meninggalkan PAS.

"Saya difahamkan, keputusan Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 12 Oktober lalu mengenai isu 2 Adun PAS iaitu Hulu Klang dan Morib adalah kemuncak yang mendorong Tamrin meninggalkan PAS," tulis Mazlan dalam satu catatannya.

Beliau yang sangat sedih dengan keputusan Tamrin itu berharap PAS dapat memujuk kembali Tamrin agar mengkaji semula tindakannya.

"Saya berharap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dapat mengambil inisiatif memujuk beliau memikirkan semula keputusannya keluar PAS, meskipun kita menghormati hak beliau. "Situasi ini bukan sesuatu yang baik bagi PAS," tulis Mazlan dalam Facebooknya.

Tamrin mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, parti yang disertainya 2 tahun lalu, melalui satu surat yang dihantar kepada setiausaha agung PAS pada 15 Oktober lepas.

Mazlan berkata, beliau bertemu dengan Tamrin dalam majlis makan tengahari bersama Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pada 2011, kemudiannya menjadi sahabat baik.

"Kami kerap bertemu terutamanya kerana beliau berminat isu Felda dan tanah," katanya. Katanya, Tamrin mengisi borang PAS pada 11 Julai 2012, di rumahnya.

"Saya sendiri jadi pencadangnya. Beliau selalu sebut, saya ni mualaf Mazlan, PAS kena tarbiyah saya," tulis Mazlan yang juga AJK PAS Pusat itu lagi.

Tamrin kemudiannya diisytiharkan menyertai PAS oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 11 Ogos 2011 di KUIZM, Taman Melewar.

"Perjalanan kehidupannya, dunia politiknya dan ada yang bersifat peribadi diceritakan kepada saya. Dia mahu habiskan sisa hidupnya untuk bersama PAS, atas ikrarnya demi Islam," katanya.

Mazlan berkata, Tamrin aktif berceramah di seluruh negara dan juga menerbitkan risalah berkaitan dengan isu Melayu.

 "Pendedahan beliau sangat menarik dan banyak membantu PAS dan PR. Bagi saya sumbangan dan komitmen beliau dalam PAS amat baik," tulisnya.

Bagaimanapun, katanya, kemelut jawatan MB Selangor, masalah dalaman PAS dan PR meresahkan beliau.

"Beliau kerap luahkan perasaan dan pandangannya pada saya dan rakan-rakan melalui telefon, SMS dan beberapa pertemuan," katanya.

Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 12 Oktober lalu mengambil keputusan menggantung keahlian dua Adunnya, iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

Saari dan Hasnul digantung keahliannya ekoran tindakan mereka menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar Selangor yang disifatkan oleh PAS mendahului keputusan pimpinannya.

Sebelum digantung, Presiden PAS ketika membuat ucapan penggulongan Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor menyifatkan kedua-dua Adun itu barua dan ada broker di dalam parti Islam itu. 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.