Followers

Monday, October 13, 2014

Lelaki maut selepas lari dari sekatan

 

Seorang lelaki dipercayai penjenayah maut selepas kereta yang dinaikinya merempuh sebuah jentolak ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya polis di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di Melaka semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, seorang anggota polis trafik berpangkat koperal turut cedera di bahagian kaki dan tangan selepas cuba menahan kenderaan terbabit.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Razali Bakar berkata sebelum kejadian, kereta jenis Proton Persona dinaiki dua lelaki tidak berhenti ketika sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Laksamana.

Beliau berkata hebahan kemudian dibuat kepada semua petugas sebelum anggota trafik berkenaan mengesan kereta terbabit di Jalan Syed Abdul Aziz sebelum cuba menahannya.
  
"Anggota polis berkenaan yang menaiki motosikal peronda kemudian telah dihimpit lalu terjatuh menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Razali berkata kereta berkenaan kemudian memecut ke arah Limbongan sebelum terbabas dan merempuh sebuah jentolak yang sedang menjalankan kerja pembesaran jalan dan parit di kiri jalan.
  
Beliau berkata kenderaan tersebut kemudian terbakar sebelum pengendali jentolak tersebut menyimbah lumpur bagi memadam kebakaran.
  
"Hasil pemeriksaan polis mendapati seorang penumpang yang tersepit maut manakala pemandu kereta mengalami kecederaan parah akibat rempuhan itu," katanya.
  
Katanya polis turut menemui beberapa bungkusan serbuk putih dipercayai dadah dan beberapa peralatan seperti kapak, parang, pemutar skru dan pemotong kabel disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.
  
Polis belum mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit, katanya.
  
Lelaki yang cedera parah serta anggota polis berusia 45 tahun berkenaan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Hasan Budu ditangkap

Sementara itu, di Besut, seorang penjenayah mencuri kenderaan paling dikehendaki di Terengganu dan Kelantan ditangkap ketika dia cuba melarikan sebuah kereta pacuan empat roda dari Taman Radhiah di sini sebelum kereta terbabit terbalik di satu persimpangan di Kampung Padang Luas Jerteh tengah malam semalam.

Samsul Bahri Awang Noh, 41, yang lebih dikenali sebgai ‘Hassan Budu' mengalami kecederaan dan dimasukkan ke Hospital Daerah Besut.
  
Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah ketika mengesahkan kejadian itu berkata suspek memang seorang penjenayah yang dikehendaki kerana banyak terbabit dalam kes mencuri kenderaan sejak beberapa tahun lalu.
  
Beliau berkata kira-kira jam 12.01 tengah malam tadi, seorang kontraktor yang sedang minum di sebuah kedai di Kampung Bukit Yong, Pasir Putih, Kelantan ternampak sebuah pacuan empat roda menghala dari Jerteh ke Pasir Putih, yang seakan-akan kenderaannya yang hilang Sabtu lalu.
  
"Oleh kerana ingin tahu, beliau mengekori kenderaan itu dengan kenderaannya yang lain sehingga dia dapat pasti bahawa kenderaan Pajero yang diekorinya itu memang kepunyaannya," kata Khaled kepada pemberita semalam.

Khaled berkata suspek yang menyedari dia diikuti telah memecut sehingga memasuki Jalan Air Terjun dan ke Kampung Padang Luas sehingga kenderaan berkenaan terbabas dan terbalik.
  
Suspek yang cedera kemudiannya ditangkap anggota polis.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.