[Sinar Harian] PASIR PUTEH - Kerana cemburu, sebilangan manusia sanggup
bertindak kejam dan di luar batasan agama dengan menggunakan
perkhidmatan bomoh bagi mengunci nafsu sehingga mangsa hidup menderita.
Pengamal perubatan Islam, Mohd Hafiz Nor mendedahkan, akhir-akhir ini
beliau lebih banyak mengendalikan kes seperti itu yang dilakukan dengan
pelbagai kaedah.
Katanya, bagaimanapun kaedah memasukkan bahan dalam makanan dan minuman
tidak lagi popular kerana sihir itu boleh dituju kepada mangsa dari
jarak jauh tanpa perlu sentuhan fizikal.
Menurutnya, terdapat kes yang mana isteri muda mengenakan sihir
menggunakan bantuan bomoh ke atas suami sendiri kerana didorong perasaan
cemburu kepada isteri tua.
"Mangsa yang terkena sihir ini menjadi tidak bernafsu kepada mana-mana
wanita dan lebih teruk, ada dalam kalangan mangsa mengalami sakit pada
kemaluan serta seluruh badan berkudis.
"Dalam kes lain pula, ada sihir yang membuatkan suami dilihat jijik dan
busuk oleh isteri sendiri. Semua ini dilakukan kerana manusia tidak
berpegang teguh kepada agama," katanya.
Tambahnya, terdapat juga kes yang mana mertua mengenakan sihir ke atas
menantu kerana kurang bersetuju dengan perkahwinan anaknya.
"Menantu akan jadi tawar hati dan hubungan suami isteri menjadi dingin.
Lebih parah apabila menantu (perempuan) tidak diberikan nafkah zahir dan
batin," jelasnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Tradisional Islam
Al-Rukyah, di sini, semalam.
Mohd Hafiz berkata, rawatan menggunakan ayat al-Quran dilihat berkesan
membuka semula nafsu yang dikunci menggunakan sihir, bagaimanapun
semuanya berlaku dengan izin ALLAH SWT.
Tegasnya, sentiasa mendekati ALLAH SWT merupakan sesuatu yang perlu dilakukan kerana ALLAH SWT berkuasa atas segala-galanya.
"Ada sihir bertujuan 'menipu pandangan' menyebabkan orang disihirkan
dilihat hodoh atau menakutkan sehingga ada satu kes yang mana anak kecil
menangis kerana tidak mahu didekati ibu sendiri," katanya. -17/10/14
DCM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.