Suhaizan 
KUALA LUMPUR - Kerajaan harus beri ruang untuk mendengar keluh kesah rakyat dalam menanggung beban peningkatan harga minyak di negara ini .

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah lanjut sekiranya kerajaan masih membisu tanpa menangani isu peningkatan harga minyak tersebut.

"Kita tunggu dan lihat apa hasilnya nanti. Sebelum ini kami sudah menyerahkan memorandum di Parlimen.

"Jika pihak kerajaan tidak mahu dengar mungkin pihak kami akan hantar memorandum kepada Perdana Menteri dan menganjurkan lebih banyak protes," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Suhaizan sebelum ini pernah melahirkan kebimbangannya berhubung peningkatan harga minyak yang menekan rakyat.

Dalam laporan Sinar Harian Online sebelum ini, Suhaizan dikatakan mempersoal punca kenaikan harga minyak yang diumum kerajaan semalam.

"Adakah pemimpin negara sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat?

"Bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak tetapi rakyat tetap dibebankan dengan kenaikkan minyak?" soalnya.

Kata beliau lagi, harga minyak yang meningkat sekaligus akan meningkatkan lagi harga barangan runcit dan keperluan harian yang lain.

Hari ini, hampir 300 peserta menyertai protes Kenaikan Harga Minyak (Satira 20 sen) di sekitar Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bantahan bermula di Jalan Abdul Rahman, mengelilingi Kompleks Sogo dan berakhir di Jalan Semarang di Kompleks Beli-belah Pertama, bersebelahan Kompleks Sogo.

Protes tersebut diadakan ekoran penarikan subsidi sebanyak 20 sen oleh kerajaan ke atas minyak RON95 (RM2.30 seliter) dan Diesel (RM2.20 seliter) berkuat kuasa awal bulan ini.

Antara yang menyertai bantahan termasuklah DAP, PKR, Pas, Turun dan beberapa NGO lain.

Sehubungan itu, beliau menyeru anak muda dan rakyat untuk terus membantah kenaikan harga minyak yang dikenakan kerajaan.

"Sekiranya anak muda berterusan membuat bantahan ini, mungkin kerajaan akan terbuka untuk mendengar dan mengkaji semula harga petrol di pasaran kita," jelasnya.