Followers

Sunday, October 19, 2014

Keadilan buat rakyat atau Anwar sahaja? Oleh Hazlan Zakaria


Saya tiada masalah dengan parti politik yang berjuang bagi keadilan untuk rakyat biasa, kerana memang kita semua perlukannya. 

Namun saya kurang gemar sekiranya tumpuan hanya diberi kepada sesuatu personaliti sahaja sehingga negara dan rakyat tenggelam olehnya.


Terutama dalam era hari ini di mana kita amat perlukan keadilan oleh sebab rakyat mengharapkan belas ehsan serta bantuan daripada golongan yang lebih berada, sedang kekayaan negara seakan dimonopoli oleh golongan tertentu.
 
Maka kita semua, rakyat Malaysia seakan dilanda ketidak upayaan mengubah destini kerana penindasan ekonomi, pendidikan dan politik yang berleluasa. 
Kita juga dihimpit kemungkinan didakwa oleh pihak berkuasa sedang sistem keadilan dilihat di bawah pengaruh pihak-pihak yang tertentu.
Sewajarnya keadilan ditegakkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Namun keadilan seringkali dilihat condong apabila melibatkan mereka yang punyai hubungan politik.
Saya bersetuju bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim teraniaya dek perbuatan pihak berkuasa yang melempar pelbagai tuduhan bersifat fitnah memalukan terhadapnya.
Namun saya kurang bersetuju jika seluruh jentera partinya PKR ditumpukan hanya bagi memperjuangkan keadilan buat tokoh itu, dan bukannya rakyat secara umumnya.
Saya mengutarakan persoalan ini berulang kali. Mengapa? Kerana ia tepat dan pernah ditimbulkan ketika Parti Keadilan mula-mula ditubuhkan.
Seperti dilaporkan, Pemuda PKR telah melancarkan kempen bertajuk Rakyat Hakimi Negara, yang berbentuk siri jelajah negara bagi menjelaskan kes Anwar. 

Pemimpin kelahiran Pulau Pinang itu bakal dibicara di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini di Putrajaya.
Setahu saya, PKR bermaksud Parti Keadilan Rakyat dan bukan Parti Keadilan Anwar.
Memang beliau layak diangkat selaku simbol dan ketua umum, kerana melambangkan bagaimana seorang tokoh penting mampu diasak sampai begitu sekali oleh pihak tertentu. Kalau kena pada kita, barangkali kita tumbang kerananya.
Tetapi saya kurang gemar apabila PKR memulakan kempen khas hanya bagi membela nasibnya.
Buat masa ini, kita saksikan ramai tokoh politik, ahli akademik, pemimpin pertubuhan sivil, pemimpin pelajar, jurnalis dan sebagainya yang turut berdepan ketidak adilan.


Sewajarnya PKR juga membela nasib mereka semua dan tidak hanya menumpukan tentang keadilan buat Anwar.
Beliau tidak wajar dijadikan fokus utama perjuangan ini.
PKR juga perlu mencari jalan agar perjuangannya kekal segar bagi seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya dikekang seorang individu.
Kerana program bergelar Rakyat Hakimi Negara, kita harap rakyat menjadi tumpuan utama mereka.
Jika tidak, nama itu wajar ditukar kepada Peminat Anwar Hakimi Negara. Mungkin lebih tepat agaknya. 



Komen:



Memfitnah tanpa EMPAT ORANG SAKSI boleh dihukum 80 kali sebatan. Hassan Ali JATI wajib dihukum 80 kali sebatan. Setuju ??

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.