Followers

Tuesday, September 16, 2014

UPSR: 4 termasuk guru besar, 2 guru direman


Anggota polis membawa seorang guru besar, dua guru dan seorang lelaki untuk ditahan reman bagi membantu siasatan kes soalan UPSR 2014 bocor di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Polis terus memperhebatkan siasatan kes kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dengan menahan tiga lagi individu malam tadi dan hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, individu terbaharu ditahan ialah seorang jurutera berusia 34 tahun di Kemaman, Terengganu pada pukul 1 petang .

Beliau berkata, dua lagi individu iaitu seorang guru berusia 37 tahun serta seorang ejen insurans berusia 31 tahun masing-masing ditahan di Kuala Ketil, Kedah dan Sentul di sini kira-kira pukul 9 malam tadi bersama gajet komunikasi milik mereka

"Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah semua yang ditangkap ialah tujuh orang dengan dua daripadanya dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 6 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kong Meng, mereka yang dibebaskan ialah dua orang guru masing-masing dari Kuala Ketil dan Perak.

Lima yang masih ditahan ialah seorang jurutera, tiga orang guru termasuk seorang guru besar dari Pulau Pinang dan seorang ejen insurans

Sementara itu di Mahkamah Majistret Putrajaya, seorang guru besar dan dua guru dari dua buah sekolah di Pulau Pinang adalah antara empat lelaki yang ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris itu.

Guru besar terbabit bersama seorang guru yang ditahan reman itu bertugas di sekolah yang sama manakala seorang guru lagi dari sekolah yang berlainan. Ejen insurans itu pula adalah dari ibu negara.

Keempat-empatnya yang berusia di antara 30 dan 54 tahun tiba di mahkamah pukul 10.20 pagi diiringi anggota polis, direman bermula hari ini hingga Khamis.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 iaitu kesalahan memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan rasmi yang dikategorikan sebagai rahsia kerajaan secara salah.

Peguam Esther Tan Siew Choo yang mewakili keempat-empat mereka ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah menyatakan, pihak polis memohon tempoh reman selama tujuh hari tetapi mahkamah membenarkan empat hari sahaja.

Menurutnya, Seksyen 8 (1) akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun hanya membenarkan tempoh tahanan reman maksimum selama tujuh hari.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seramai empat guru ditahan di Pulau Pinang dan Perak semalam dalam serbuan yang bermula pada pukul 3.30 petang.

Sebelum itu, pihak polis telah merekod keterangan 12 individu iaitu lima guru, enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta seorang wartawan.

Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.

Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.

Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Susulan kejadian tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu mengumumkan Pengarah LPM, Dr. Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.